Dr M: Boleh tolong 'kroni' berbakat
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan dasar penswastaan semasa era pentadbirannya yang sering dibidas sebagai hanya menguntungkan kroni.
Katanya, perkataan kronisme diperkenalkan kuasa barat dan medianya untuk mengkritik negara-negara membangun yang bangkit daripada penjajahan.
“Kronisme ini adalah perkataan yang diperkenalkan apabila kita lihat negara membangun mencapai kemajuan.
“Dan ada orang yang dapat faedah dari kemajuan, maka dia inilah dicap sebagai kroni.
"Tapi kalau dia gagal, dia tak jadi kroni (pula),” katanya yang terkenal dengan sikap sinis ketika menjawab soalan.
Dalam wawancara bersama CNN Indonesia yang dimuat naik ke Internet hari ini, Mahathir mengaku kerajaan pada masanya membantu pihak tertentu dalam perniagaan, kerana ia akhirnya tetap menguntungkan kerajaan.
Bagaimanapun, tegasnya, kerajaan hanya membantu pihak yang berbakat.
“Kalau kita bagi RM1 juta kepada penarik beca, tidak mungkin dia dapat (beri) kemajuan kerana dia tidak ada kecekapan dalam perniagaan.
“Kita tolong orang yang sudah berjaya dalam sektor swasta dan kita suka kalau dia lebih berjaya sebab keuntungan dia sebahagian besar dimiliki oleh kerajaan,” katanya lagi.
Keuntungan itu, katanya lagi, akan kembali ke kantung negara dalam bentuk cukai.
Wall Street pun kroni
Ditanya sama ada kronisme penting untuk pembangunan negara, Mahathir menegaskan tidak wujud istilah itu walaupun perkara sama turut berlaku di tempat lain, termasuk Amerika Syarikat (AS).
“Kalau kita lihat di AS, kuasa Wall Street ke atas kerajaan begitu tinggi sekali. Itu memang kronisme.
“Apabila kerajaan AS ditubuh, tiap kali orang dari Wall Street dipilih jadi setiausaha negara dan sebagainya. Ini jelas kronisme, dipilih orang yang dikenali oleh presiden yang dipilih.
“Di Malaysia kita tidak ada orang yang kaya, terutama di kalangan orang Melayu. Kalau kita dapat orang Melayu yang berbakat, salah ke kalau kita tolong dia?” soalnya lagi.
Ditanya sama ada amalan rasuah turut menjadi pertimbangan ketika memperkenalkan dasar itu, Mahathir mengaku ia tidak boleh dihapuskan 100 peratus.
Bagaimanapun, katanya, ia boleh dikawal di tahap minimum, selagi tidak merebak ke tahap terbuka.
“(Ada syarat) awak nak sesuatu, awak kena bayar sekian banyak.
“Bila sampai pada tahap itu, kita tak boleh nak lawan lagi korupsi,” katanya.

