Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik berkata, pemilihan para perwakilan Sabtu ini akan menentukan sama ada proses peralihan pucuk kepimpinan parti itu akan berlaku dalam tempoh dua tahun lagi atau sembilan tahun lagi.

Katanya, beliau akan melepaskan pucuk pimpinan parti kepada bakal Timbalan Presiden, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang menang tanpa bertanding kerana merupakan calon tunggal bagi jawatan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, jika para perwakilan memilih Timbalannya sekarang, Datuk Kerk Choo Ting, maka Dr Koh perlu menunggu sembilan tahun lagi untuk mengambil alih kepimpinan Gerakan.

"Kerk telah berkata, jika dipilih, beliau akan memegang jawatan tersebut selama tiga penggal, iaitu sembilan tahun jadi Dr Koh lagi perlu menunggu sembilan tahun lagi...," kata Dr Lim sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Dr Koh menang tanpa bertanding selepas Kerk tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya itu dan sebaliknya mengambil keputusan untuk bertanding jawatan presiden.

Lim mendakwa, Kerk telah diberi peluang sejak lima tahun lalu untuk mempersiapkan dirinya menjadi presiden, tetapi beliau tidak memanfaatnya dengan memperlihatkan prestasi kerja yang baik.

"Beliau tidak memanfaatkan peluang itu...jadi beliau tidak boleh menyalahkan saya...," katanya Dr Lim yang memegang jawatan presiden sejak 25 tahun lalu.

Beliau juga mengkritik Kerk kerana tidak memperlihatkan semangat berpasukan dan berkata para pemimpin parti itu sudah hilang keyakinan terhadap timbalan presiden itu.

Dr Lim yang juga Menteri Komunikasi, Air dan Tenaga, berkata beliau juga tidak akan melepaskan jawatan menterinya walaupun selepas menyerahkan pucuk pimpinan kepada Dr Koh.

"Ini satu tugas yang penting, Saya akan terus berkhidmat sebagai menteri sehinggalah khidmat saya tidak lagi diperlukan oleh Perdana Menteri," katanya.

Undi perwakilan

Kira-kira 1,800 perwakilan layak mengundi Sabtu ini. Mengikut ramalan, Dr Lim dijangka memperolehi 1,100 undi.

Satu sumber berkata, undi untuk Kerk akan diperolehi daripada Johor (60 peratus), Selangor (40 peratus), Kedah (lebih 50 peratus), Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Hanya satu bahagian di Negeri Sembilan yang diketahui menyokong Dr Lim, manakala Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan Dr Tan Kee Kwong merupakan penyokong kuat Kerk.

Dr Lim pula mempunyai pengaruh kuat di Perak, Pulau Pinang dan Kelantan. Memandangkan Perak dan Pulau Pinang menghantar jumlah perwakilan teramai, maka ini memberi peluang yang lebih kepada Dr Lim.

Namun begitu, menurut sumber itu, Kerk juga mempunyai kekuatan tersendiri yang berdasarkan kepada empat faktor.

Para perwakilan yang tidak puashati dengan Dr Lim akan mengundi Kerk di samping undi simpati dari mereka yang membantah desakan presiden Gerakan itu supaya semua ahli badan perhubungan negeri menyatakan secara terbuka pilihan mereka bagi dua jawatan tertinggi.

Mereka menganggap tindakan Dr Lim itu sebagai 'keterlaluan', memandangkan Kerk sudah menjadi timbalannya sejak 16 tahun yang lalu.

Satu lagi faktor ialah sesetengah perwakilan juga mahu melihat Dr Lim menang tipis bagi menambah kuasa Dr Koh dalam parti.

Sesetengah perwakilan juga melihat Kerk dan Dr Koh kedua-dua berpendidikan Cina sebagai satu pasangan kepimpinan baru yang terbaik, berbanding dengan Dr Lim yang berlatarbelakangkan pendidikan Inggeris.

Kerk dan Dr Koh menyertai Gerakan pada tahun 1982 ketika Dong Jiao Zong melancarkan kempen untuk menyatupadukan pertubuhan-pertubuhan Cina Malaysia, termasuk parti-parti politik, untuk menuntut hak pendidikan bahasa ibunda.

Kerk juga ketika itu, merupakan penasihat undang-undang Dong Zong manakala Dr Koh pula menjadi pensyarah di Universiti Sains Malaysia.