Azmi Khalid akan kahwini Normala Shamsudin
Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid akan mengakhir zaman dudanya dengan mengahwini bekas personaliti popular TV3, Normala Shamsuddin tidak lama lagi.
Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid akan mengakhir zaman dudanya dengan mengahwini bekas personaliti popular TV3, Normala Shamsuddin tidak lama lagi.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Azmi, 64, kepada Utusan Malaysia bagi mengakhiri spekulasi dan gosip mengenai hubungannya dengan Normala, 41.
"Saya membuat keputusan untuk mengambil Normala sebagai isteri. Kami secocok dalam banyak aspek," katanya dalam laporan tersebut.
Azmi menjadi duda setelah isteri beliau, Datin Yasmin Abdullah, 62, meninggal dunia akibat leukemia, Mac lalu.
Menurut Azmi, selama ini, beliau mendiamkan diri untuk menjaga hati semua pihak, khususnya anak-anak dan keluarga terdekat.
"Malangnya, lebih lama saya mendiamkan diri, lebih banyak spekulasi dan gosip liar yang keluar. Oleh itu, kerana perkara ini menyentuh perkara yang baik, saya rasa elok ia diperjelaskan," katanya.
Azmi juga dilaporkan oleh Utusan sebagai berkata, beliau telah memohon keizinan dan restu daripada bapa Normala, seorang peneroka Felda, untuk mengahwini anaknya dalam satu pertemuan di Johor Bahru minggu lalu.
Tarikh perkahwinan
Perkara tersebut juga, kata Azmi, telahpun dimaklumkan kepada ahli-ahli keluarganya sendiri.
Katanya, beberapa tarikh bagi melangsungkan perkahwinan telah ditetapkan, namun ia terpaksa ditunda atas sebab-sebab tugasan.
Setakat ini, katanya, beliau belum membuat keputusan (bila tarikhnya), tetapi menegaskan ia tidak akan mengambil masa terlalu lama "kerana dalam keadaan umur saya, tiap-tiap hari dan tiap-tiap bulan merupakan satu bonus."
Sambil menegaskan majlis perkahwinan mereka akan diadakan secara kecil-kecilan, Azmi berkata, beliau tertarik dengan Nomala kerana mereka banyak persamaan yang dikongsi dalam banyak perkara.
Apabila ditanya bilakah beliau mula jatuh cinta pada wanita yang pernah mendapat jolokan wanita Melayu tercantik, Azmi bekata, jodoh dan pertemuan adalah di tangan tuhan.

