Najib: BN teruskan tradisi muafakat tentukan kerusi, calon PRU14
Barisan Nasional (BN) akan meneruskan tradisi semangat setiakawan dan persefahaman dalam menentukan pembahagian kerusi dan calon bagi pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana menteri yang juga pengerusi BN berkata faktor tersebut diyakini dapat mengelak berlaku pergeseran dan perebutan kerusi antara parti komponen dalam BN.
"Parti komponen bersetuju dengan pendirian ini dan mereka sepakat menerima keputusan. Soal yang utamanya bukanlah melobi tetapi pilihan rakyat yang akan diberi pertimbangan utama.
"Dalam BN, apa sahaja kita selesaikan secara kekeluargaan dan muafakat,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di ibunegara hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Tan Sri Joseph Kurup dan Pengerusi MyPPP Tan Sri M. Kayveas.
Najib berkata semua parti komponen kini dalam proses mempertingkatkan persiapan bagi menghadapi PRU ke-14.
"Kita juga ada bincang persiapan PRU, secara umumnya, kerjasama dan persiapan parti-parti komponen BN adalah baik. Bagaimanapun, ada ruang yang boleh dipertingkatkan dan dilakukan dalam masa beberapa minggu akan datang," katanya.
Mengulas lanjut, Najib berkata BN adalah pakatan yang kukuh dan stabil berbanding pakatan pembangkang yang dilihat seringkali membuat kenyataan dan pendirian bercanggah antara satu sama lain, sehingga mengubah keputusan dalam sesuatu isu semasa mengikut keadaan.
Malah katanya, pakatan pembangkang juga dilihat seakan-akan gagal dalam memutuskan siapa yang menjadi pemimpin dalam kalangan mereka.
"Kekuatan BN, saya yakin akan memberi gambaran dan imej kepada rakyat bahawa kita adalah pakatan yang lebih viable (berdaya maju) dan mampan untuk terus memimpin negara," jelasnya.
Perdana menteri berkata Dewan Tertinggi BN juga mengambil maklum episod kejayaan yang dikecapi negara baru-baru ini yang diraikan seluruh rakyat dalam suasana aman dan harmoni.
"BN mengucapkan tahniah di atas kejayaan kontinjen negara menjuarai Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, sambutan Hari Kebangsaan 2017 yang diraikan baru-baru ini selain pelancaran Transit Aliran Massa (MRT).
"Ini semua kebanggaan negara. Dalam semua aspek, kita akan terus menyampaikan apa yang terbaik bagi rakyat Malaysia," katanya.
- Bernama

