Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
MCMC batal sekat Steam
Diterbitkan:  Sep 9, 2017 6:20 AM
Dikemaskini: Sep 9, 2017 4:57 AM

DIKEMASKINI Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menarik balik sekatan ke atas laman platform permainan atas talian, Steampowered.com (Steam).

Keputusan itu dibuat selepas pihak pengendali platform permainan berkenaan akur dengan permintaan MCMC supaya menghalang permainan video ‘Fight of Gods’ daripada dimuat turun pengguna di negara ini.

“Pihak pengendali platform tersebut telah akur dengan permintaan pihak MCMC untuk menghalang permainan video ‘Fight of Gods’ daripada dimuat turun pengguna di Malaysia.

“Sehubungan itu, tindakan sekatan terhadap laman sesawang steampowered.com akan ditarik balik,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Malah, MCMC turut memberitahu, pihaknya komited untuk melindungi kepentingan pengguna di negara ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengaibkan kesucian agama serta keharmonian antara kaum di Malaysia.

Pada malam tadi, MCMC mengambil tindakan menyekat laman platform permainan atas talian Steam.

Ekoran sekatan itu, laman Facebook SKMM menerima kecaman daripada orang ramai.

Dianggarkan terdapat lebih dua juta pengguna platform Steam di Malaysia.

MCMC telah mengarahkan pihak penyedia perkhidmatan internet untuk mengambil tindakan menyekat laman sesawang yang menjadi platform pengedaran digital permainan video “Fight of Gods” yang dilihat mengaibkan kesucian agama serta keharmonian antara kaum di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata tindakan tersebut diambil selepas pihak penyedia platform permainan video itu, Steam gagal mematuhi tempoh 24 jam yang diberikan untuk menghalang permainan video tersebut daripada dimuat turun oleh pengguna di Malaysia.

“Tindakan yang dilaksanakan ini adalah perlu bagi melindungi pengguna selain memastikan tidak berlakunya kejadian yang tidak diingini.

“Perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat yang berbilang kaum dan agama di negara ini merupakan matlamat utama kerajaan, sebarang perilaku yang menggugat matlamat ini tidak akan dikompromi sama sekali oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kelmarin, Salleh berkata MCMC akan meminta penyedia platform permainan video "Fight of Gods" untuk menghalang pautan muat turunnya kepada pengguna Malaysia dalam tempoh 24 jam.

Beliau turut menyifatkan permainan video yang dibangunkan oleh sebuah studio di Taiwan itu mengaibkan agama dan ketua-ketua agama serta mengancam kesepakatan dan keharmonian antara kaum.

Salleh berkata sebarang perbuatan mencipta dan menyebarkan kandungan jelik adalah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

“MCMC juga ingin mengingatkan para pengguna agar lebih berwaspada dan menggunakan kebijaksanaan mereka ketika memilih kandungan untuk diakses untuk kebaikan diri sendiri, masyarakat dan negara,” katanya.

Permainan video 'Fight of Gods’ diilhamkan oleh permainan seperti ‘Street Fighter’ dengan menonjolkan watak 'Jesus’ dan ‘Buddha’ sebagai karakter utama di mana pemain menggunakan wira pilihan mereka untuk mengalahkan wira pilihan lawan.

Dimajukan oleh Digital Crafter dari Taiwan, permainan itu membangkitkan kemarahan pemimpin agama dan penggemar permainan video.

- Bernama

Lihat Komen
ADS