Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bercadang meletakkan had terhadap kuasa perdana menteri untuk melantik ketua-ketua dalam berbagai institusi kerajaan.

"BERSATU akan mencadangkan kepada pucuk pimpinan HARAPAN beberapa perubahan dan reformasi besar yang akan kita laksanakan jika berjaya ke Putrajaya.

"Antaranya kuasa perdana menteri dalam pelantikan ketua-ketua institusi utama negara seperti peguam negara, ketua polis negara, ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia akan dihadkan.

"Perlembagaan Persekutuan akan dipinda untuk memastikan perdana menteri tidak mempunyai kuasa untuk melantik atau memecat ketua-ketua institusi ini dengan sewenang-wenangnya," kata presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Beliau berkata demikian kepada sekitar 2,500 hadirin dalam majlis sambutan ulang tahun pertama BERSATU di Muar, Johor malam ini

Kuasa untuk melantik dan memecat para pegawai tinggi intitusi awam telah dikritik dengan hebat setelah perdana menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak secara tiba-tiba menyingkirkan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara atas 'sebab-sebab kesihatan' pada Julai 2015.

Pada waktu itu, Gani sedang mengetuai pasukan petugas khas yang menyiasat skandal 1MDB.

Pengganti beliau Tan Sri Mohamad Apandi Ali telah membersihkan Najib daripada sebarang salah laku pada Januari 2016. Keputusan tersebut dipertikaikan para pengkritik perdana menteri.

Muhyiddin berkata skandal 1MDB menunjukkan bagaimana kuasa dan pengaruh perdana menteri mengekang kebebasan institusi-institusi awam seperti SPRM, pasukan polis dan pejabat peguam negara.

"Akibatnya banyak kes-kes berprofil tinggi terutamanya yang melibatkan perdana menteri dan orang-orang di sekelilingnya tidak diambil tindakan walaupun terdapat bukti kukuh untuk mensabitkan mereka dengan kesalahan jenayah," kata beliau lagi.

Sebelum ini HARAPAN berjanji akan membataskan jawatan perdana menteri untuk hanya dua penggal sahaja, jika gabungan itu membentuk kerajaan baru.

Muhyiddin dalam ucapan beliau malam ini juga berkata BERSATU akan mendesak perubahan yang akan menghalang perdana menteri daripada menjadi menteri kewangan

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS