Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Kita semua sudah tidak boleh bersabar lagi. Sejak hari raya haji semua orang sudah letih bertanya, "bila agaknya pilihan raya?"

Mungkinkah pilihan raya bakal berlangsung tahun ini? Adakah Najib akan menunggu sehingga luput tempoh mandat Dewan Rakyat tahun depan? Adakah Pakatan Harapan (HARAPAN) betul-betul sanggup mengambil alih kerajaan?

Saya menjangkakan pilihan raya akan berlangsung tahun ini. Lebih spesifik, parlimen akan dibubar pada November, dengan tempoh kempen mencecah awal Disember.

Pilihan raya akan berlangsung sebelum bermula musim tengkujuh.

Berikut saya ketengahkan beberapa sebab bagi menyokong bacaan politik ini.

Hujah pertama berkait pembayaran hutang kepada International Petroleum Investment Corporation (IPIC) berjumlah AS$1.2 bilion oleh Kerajaan Malaysia.

Kita semua sedia maklum tentang keputusan timbang tara di London antara IPIC yang berpangkalan di Abu Dhabi dan syarikat pelaburan milik Kementerian Kewangan 1MDB.

Bayaran berjumlah AS$1.2 bilion itu telah dibahagi dua. Bayaran pertama sepatutnya dibuat pada 31 Julai lalu. Bayaran kedua pula, sebanyak RM2.58 bilion, perlu dilangsaikan pada akhir tahun ini.

1MDB gagal melunaskan bayaran pertama mengikut waktu yang ditetapkan. IPIC kemudian memberi tempoh sehingga hujung Ogos, setelah terlebih dahulu memberi lanjutan lima hari daripada tarikh luput asal 31 Julai.

Menurut 1MDB, kelewatan bayaran tersebut adalah kerana “1MDB masih lagi menunggu dana yang sepatutnya diterima pada Julai 2017. Berikutan keperluan mendapatkan kelulusan kawal selia tambahan, penerimaan dana itu ditangguhkan kepada Ogos 2017.”

Tiga hari selepas kerajaan Abu Dhabi memberikan tempoh lanjutan sehingga hujung Ogos, 1MDB membayar IPIC sebanyak AS$350 juta pada 11 Ogos.

Kebetulan pula dua hari sebelumnya iaitu 9 Ogos, projek East Coast Rail Link (ECRL) dilancarkan di Kuantan, Pahang. Ini mencetuskan spekulasi ramai pihak yang "dana yang sepatutnya diterima pada Julai 2017" - seperti yang dinyatakan 1MDB - datang daripada cukong-cukong ECRL, dari Tanah Besar China.

Jika benar, maka kemungkinan besar cukong-cukong yang sama juga akan menyalurkan baki yang perlu dibayar 1MDB pada Disember nanti.

Ia akan perlu membayarnya, jika tidak mahu pelaburan ECRL hangus begitu sahaja. Namun cukong-cukong ini juga memerlukan jaminan yang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kekal berada di takhtanya di Putrajaya.

Maka, Najib Razak mesti mengadakan pilihan raya sebelum cukong ECRL ini boleh membantu melangsaikan bayaran kedua Disember nanti. Najib Razak perlu kekal sebagai perdana menteri kerana projek ECRL pasti akan dibakulsampahkan jika kerajaan bertukar tangan.

Jaja gambar Najib - Trump

Hujah kedua pula berkaitan pertemuan Najib Razak dengan presiden berkulit jingga pertama Amerika Syarikat Donald Trump, satu dua hari lagi.

Tidak susah untuk kita meneka tujuan pertemuan Najib dan Trump. Secara geopolitiknya, ada banyak jangkaan dan teori yang boleh kita layan. Tetapi dari sisi politik Malaysia, pertemuan itu hanyalah untuk sekeping gambar.

Najib malah tidak perlu duduk minum kopi lama-lama, atau bermain golf seharian bersama sang presiden. Cukup sekadar keduanya bertemu di koridor Rumah Putih, berjabat tangan, senyum untuk beberapa saat, bertanya khabar - "Dah makan belum? Isteri sihat?" - dan kemudian pulang ke rumah masing-masing.

Sekeping gambar itu akan dijaja seluruh negara di muka depan akhbar-akhbar utama, lantas mencairkan kempen anti-kleptokrasi HARAPAN berbekalkan tindakan undang-undang Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) terhadap aset terkait dana 1MDB yang disonglap anasir-anasir di negara itu untuk membeli kapal, kondominium dan intan berlian.

Najib dan Trump malah tidak akan mengadakan sidang media pun, memandangkan Najib tidak akan berani berhadapan soalan wartawan Wall Street Journal, New York Times dan Washington Post.

Dalam negara sendiri bolehlah beliau mengelak soalan media. Wartawan Amerika Syarikat tidak boleh diugut-ugut dan digoyang. Mereka tidak peduli.

Operator politik Najib Razak hanya akan menayangkan rakaman pertemuan itu di semua saluran media dan berkata, "Lihatlah perdana menteri kita, tidak disentuh kerajaan Amerika. Ini membuktikan beliau tidak bersalah, dan dakwaan pembangkang tentang 1MDB dan DOJ itu semua fitnah belaka".

kemudian sentimen rakyat akan diukur, dan Najib Razak tidak akan teragak-agak untuk mengadakan pilihan raya sebaik sahaja beliau merasa cukup yakin yang kempen HARAPAN dengan modal tindakan undang-undang DOJ itu sudah cair dan tidak ampuh lagi.

Bantuan di saat tengkujuh

Hujah ketiga ialah longgarnya integriti organisasi HARAPAN.

Percakaran antara pimpinan parti-parti komponen, pergelutan dalam pembahagian kerusi serta ketidaktentuan nasib pendaftaran gabungan itu dan keadaan DAP yang masih bagai digantung tidak bertali oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), adalah kombinasi mantap untuk menggagalkan usaha HARAPAN menawan Putrajaya.

Najib Razak sendiri boleh sahaja bertindak menggagalkan pendaftaran HARAPAN sebagai sebuah gabungan politik. Kalau pun anasir-anasir jahat dalam DAP, PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersat Malaysia (BERSATU) tidak menggagalkannya dengan tangan sendiri.

Antaranya pertengkaran terbuka PKR yang menggugat integriti struktur parti itu, dan seterusnya HARAPAN sendiri. Ketidaktentuan tentang PAS juga turut tidak membantu. Malah Najib Razak juga pasti tahu bagaimana untuk mencatur politik PAS dan HARAPAN bagi menggagalkan usaha parti-parti pembangkang.

Kekuatan Najib Razak adalah beliau mengetahui di mana terletaknya titik lemah itu, dan akan menekannya secara strategik. Ia pastinya akan digunakan secara kalkulatif untuk menghancurkan lawannya.

Maka beliau tidak perlu resah dan boleh mengadakan pilihanraya pada bila-bila masa mengikut kehendaknya.

Hujah keempat pula sedikit spekulatif. Ada khabar angin mengatakan ketua-ketua UMNO bahagian telah pun berkumpul di ibu pejabat parti itu sebelum Aidil Adha. Pertemuan itu tidak lain untuk membahagi-bahagikan peruntukan kempen pilihan raya.

Peruntukan tersebut pastinya tidak akan bertahan sehingga tahun hadapan. Perangai orang UMNO ni tahu faham-faham sajalah.

Maka itulah bacaan saya. Jika pilihan raya mahu diadakan pada tahun ini, satu-satunya peluang yang ada ialah pada November. Sebaik sahaja jemaah haji pulang dari Mekah, musim peperiksaan selesai, di saat umat Melayu di pantai timur dilanda tengkujuh dan menanti bantuan daripada kerajaan.

Mungkin juga Najib Razak akan menunggu musim belanjawan untuk menabur janji-janji manisnya. Ia termasuklah janjinya kepada PAS untuk memberi ruang kepada pindaan RUU 355, sebagai balasan terhadap jasa memecahkan undi dan sokongan umat Melayu.

Najib Razak berada pada keadaan yang paling yakin dan kuat. Mustahil beliau tidak berani mengadakan pilihan raya secepat mungkin.

Kecualilah jika beliau merasakan kedudukannya sebagai perdana menteri tidak terjamin, meski pun selepas menang dalam pilihan raya nanti.

Lihat Komen
ADS