Kerajaan Negeri Terengganu menyedari kemungkinan wujudnya unsur-unsur penyelewengan dalam anak-anak syarikat kerajaan negeri sehingga menyebabkannya mengalami kerugian teruk.

Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu diberitahu, antara anak syarikat kerajaan negeri yang masih mengalami kerugian ialah anak syarikat Yayasan Terengganu, Wawasan Wibawa Sdn Bhd yang mencatatkan kerugian RM726,231.86 tahun lalu.

Dua anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) Pertima Terengganu Sdn Bhd dan Permint Binabahan Sdn Bhd juga mencatatkan kerugian, masing-masing sebanyak RM67,885 dan RM34,722.

Selain itu, Permodalan Terengganu Bhd (PTB) mencatatkan kerugian terkumpul sebanyak RM21,000 tahun lalu dan jumlah itu meningkat kepada RM910,000 pada pertengahan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Pelancongan Negeri, Datuk Mohamed Awang Tera, memberitahu dewan, Golden Pharos Bhd turut mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM26.5 juta.

Terengganu diperintah oleh PAS selama sepenggal sebelum kerajaan Barisan Nasional berjaya merampasnya semula dalam pilihanraya umum lalu.

Mohamed berkata, Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) akan ditubuhkan bagi mengurus anak syarikat kerajaan negeri, terutama yang menghadapi masalah serta mengalami kerugian terkumpul yang besar tetapi masih berpeluang diselamatkan.

Menurut laporan Bernama, bagi tujuan itu, katanya, kerajaan negeri bercadang mengunapakai kaedah pengurusan Johor Corporation Bhd (Johor Corp) yang ternyata berjaya mengurus anak syarikat kerajaan Johor.

Selamatkan anak syarikat

"Bagi mewujudkan Terengganu Inc, kerajaan negeri telah melantik perunding untuk mengkaji kaedah pengurusan seperti yang dilakukan Johor Corp," katanya ketika menjawab soalan Alias Abdullah (BN-Alur Limbat).

"Bagi memastikan tiada unsur negatif dalam anak syarikat kerajaan negeri, tindakan tegas akan diambil terhadap kakitangan atau pegawai sekiranya terdapat bukti ada penyelewengan," katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan negeri akan menyuntik modal ke dalam PTB Bhd agar langkah berkesan dapat diambil untuk meningkatkan harga unit Amanah Saham Darul Iman (Asdi). Saham Asdi kini bernilai 57 sen seunit.

Di samping itu, katanya, kerajaan negeri juga telah memindahkan pejabat operasi PTB dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu mulai Mei lepas lalu syarikat itu dapat dipulihkan dengan lebih berkesan.

Ketika menjawab soalan tambahan Datuk Abu Bakar Ali (BN-Kemasik), Mohamed berkata kerajaan negeri akan membina dua hingga tiga hotel baru di Terengganu bagi menampung jumlah pelancong yang melawat negeri ini dan juga sebagai persiapan bagi Tahun Melawat Terengganu 2008.

Menurut Mohamed, pada masa ini terdapat 201 hotel dan resort yang menyediakan 6,632 bilik penginapan di seluruh negeri.

Sehingga Jun lalu, seramai 820,018 pelancong datang ke Terengganu dan jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 16.6 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta tiga lagi wakil PAS tidak menghadiri hari terakhir persidangan hari ini, selepas bertindak meninggal dewan semalam.

Hadi tidak hadir sidang

Mereka ialah Datuk Harun Taib (PAS-Manir), Datuk Wan Abdul Muttalib Embong (PAS-Batu Buruk) dan Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) yang turut meninggalkan dewan semalam.

Ketua parti pembangkang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertindak keluar dari sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu Speakar Datuk Che Mat Jusoh mengarahkan beliau menghentikan ucapan kerana dikatakan gagal mematuhi peraturan persidangan.

Insiden semalam berlaku ketika Presiden PAS itu baru beberapa minit berucap membahaskan usul tergempar yang dibawa Datuk Abu Bakar Ali (BN-Kemasik) mengenai isu merobohkan premis yang didakwa sebagai masjid oleh PAS, di Kampung Bujal Kemaman pada 26 Mei lalu.

Wakil PAS Rhu Rendang itu tidak memberi laluan apabila Khazan Che Mat (BN-Batu Rakit), Wan Hisham Wan Salleh (BN-Ladang) dan Datuk Ahmad Said (BN-Kijal) ingin mendapatkan penjelasan mengenai hujah yang dikemukakannya.