Perbalahan Keng Yaik-Choo Ting melarat ke peringkat negeri
Perang mulut antara Presiden Gerakan Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik dan Timbalannya Datuk Seri Kerk Choo Ting kini melarat kepada perbalahan antara badan-badan badan perhubungan negeri.
Perang mulut antara Presiden Gerakan Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik dan Timbalannya Datuk Seri Kerk Choo Ting kini melarat kepada perbalahan antara badan-badan badan perhubungan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri Kelantan, Datuk Ng Chiang Chin secara terbuka hari ini membidas Naib Presiden Datuk Dr Tan Kee Kwong penyokong kuat Kerk kerana menuduh Keng Yaik memiliki senarai nama perwakilan perbuatan yang melanggar peraturan parti.
Peraturan parti melarang mana-mana ahli termasuk presidennya menyimpan senarai perwakilanke perhimpunan agung parti.
"Setiap tahun Dr Lim terpaksa menghantar beribu kad tahun baru ke ibu pejabat parti untuk dikirim kepada para perwakilan. Jadi mana kebenarannya menuduh Dr Lim memiliki senarai nama perwakilan?" kata Ng.
Beliau juga menganggap manifesto Kerk untuk memperkukuhkan kewangan parti sebagai melucukan kerana menurutnya, sepanjang 16 tahun menjadi Timbalan Presiden, Kerk kurang mengambil berat tentang kewangan parti.
"Adakah apabila seseorang itu hendak menjadi presiden, baru hendak menyumbang?" kata Ng.
'Serangan peribadi'
Bernama juga melaporkan bahawa Pengerusi Gerakan Pahang Datuk Ng Keong Chye turut membidas Kerk dan Tan kerana melakukan serangan peribadi terhadap lawan mereka dalam pemilihan kali ini.
"Pemilihan parti adalah pemilihan parti dan bukannya menyerang peribadi seseorang," katanya.
Pengerusi Gerakan Selangor Datuk Lum Weng Keong pula berkata Selangor menyokong penuh kepimpinan Keng Yaik dan yakin presiden Gerakan itu akan mengotakan janjinya untuk menyerahkan jawatan presiden kepada penggantinya dalam masa dua tahun lagi.
"Kami berpendapat, demi kebaikan parti, peralihan kepimpinan perlu dibuat dua tahun dari sekarang," katanya.
Lum berkata Gerakan memerlukan seorang pemimpin yang muda, dinamik dan berpandangan jauh bagi membawa parti ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020 dan pembentukan satu bangsa Malaysia.
"Kepimpinan parti sekarang yang diketuai oleh Dr Lim telah meletakkan satu asas yang kukuh bagi para pemimpin masa depan," katanya.
Sin Pin jadi sasaran
Sementara itu, Lim Si Pin anak lelaki tunggal Keng Yaik yang terpilih sebagai timbalan ketua Pemuda Gerakan yang baru, hari ini turut mengecam Dr Tan yang mendakwa bapanya telah melantiknya (Si Pin) memegang jawatan walaupun beliau tidak banyak menyumbang kepada parti.
"Apa yang dikatakan oleh Dr Tan adalah karut. Setiap kenyataan yang dibuatnya mengandungi kecacatan," katanya.
Semalam, Dr Tan berkata Si Pin telah dilantik sebagai ketua protem bahagian Setiawangsa pada tahun 2003 tetapi banyak orang yang tidak berpuas hati dengan prestasinya.
Beliau berkata Si Pin meletakkan jawatan setahun kemudian kerana beliau terlalu sibuk dengan perniagaannya.
Si Pin menjelaskan hari ini bahawa beliau dilantik sebagai ketua bahagian Setiawangsa di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur oleh Dr Tan bukan melalui perundingan tetapi secara paksaan.
"Oleh itu, saya menolak pelantikan itu bukannya setahun kemudian tetapi tiga bulan kemudian kerana saya menyertai Gerakan dalam tahun 1996 di bahagian Batu dan telah bekerja rapat dengan ketua bahagiannya Ng Lip Yong.
'Jangan jadi gajah'
"Alasan saya menolak pelantikan itu ialah kerana saya menerima maklumat bahawa ia satu perangkap oleh Dr Tan untuk mengenakan saya kerana sehingga kini, semua ahli dari Setiawangsa menyokong beliau (Dr Tan)," katanya.
Si Pin berkata, Dr Tan tidak harus menjadikan beliau sebagai sasarannya kerana beliau hanyalah "seorang pemimpin kecil dan berkedudukan rendah dalam hierarki parti dan beliau tidak sepatutnya menjadi umpama seekor gajah yang memijak seekor semut."
"Saya tidak terlibat dalam perniagaan seperti yang dituduh oleh Dr Tan. Semua fakta beliau adalah salah. Sehingga kini, saya masih bekerja makan gaji...bekerja dari 9 pagi hingga 5 petang, di sebuah institusi kewangan swasta. Jika Dr Tan tidak mempunyai fakta yang betul, saya boleh menunjukkan kepadanya surat pelantikan saya," katanya.
Si Pin berkata beliau kecewa kerana Dr Tan yang diberikan kerusi Parlimen Segambut dalam pilihanraya umum 1995 dan kemudian dilantik sebagai timbalan menteri "walaupun terdapat ramai lagi pemimpin yang berkelayakan dan berkemampuan", masih tidak berterima kasih kepada pucuk pimpinan parti.

