Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat Malaysia di luar negara tidak terpedaya dakyah kononnya Malaysia negara gagal.

Perdana menteri berkata hakikatnya ialah banyak bukti menunjukkan Malaysia kini menuju ke arah menjadi negara maju.

Sebagai contoh, katanya, nilai perdagangan Malaysia antara Januari dan Julai tahun ini mencapai RM1.008 trilion, meningkat sebanyak 22.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Pembangunan infrastruktur seperti MRT dan Lebuh Raya Pan Borneo menjadi penggerak kepada rancangan pembangunan untuk meletakkan Malaysia menjadi antara 20 negara maju dunia.

Hakikat inlah yang akan beliau bentangkan semasa pertemuan dengan Presiden Donald J Trump semasa pertemuan di Rumah Putih yang dijadual berlangsung pada Selasa.

Najib berkata demikian pada majlis bersama pelajar dan rakyat Malaysia di Amerika Syarikat di Kedutaan Besar Malaysia di Washington DC.

Hadir sama Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat Tan Sri Zulhasnan Rafique dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa.

Perdana menteri berkata pertemuan beliau dengan Presiden Trump akan membolehkan beliau menjelaskan kepada Amerika Syarikat bahawa Malaysia berazam untuk menjadi sebuah negara maju, yang akan menjanjikan lebih banyak peluang.

Malaysia akan terus menyokong usaha global untuk memerangi keganasan dan pada masa sama menyebarkan imej sebenar Islam, katanya.

Najib berkata hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat terus kekal kukuh walaupun pemimpin Amerika sentiasa bersilih ganti.

Katanya Malaysia terus memainkan peranan membanteras keganasan global dan memberi gambaran sebenar mengenai ajaran Islam.

Terdapat kira-kira 28,000 rakyat Malaysia menetap di bandar-bandar seluruh Amerika Syarikat.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS