Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyelesaikan siasatan pembelian hotel oleh Felda Investment Corp (FIC) dan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) bulan ini, kata Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

“Saya nak nyatakan di sini, siasatan yang libatkan FGV dan juga siasatan yang melibatkan (Hotel) Merdeka Palace ada sikit lagi,” katanya.

“Insya-Allah selepas siasatan, kita akan angkat kertas siasatan dengan cadangan kita kepada AGC (Jabatan Peguam Negara) dan Tan Sri AG (peguam negara) untuk buat keputusan,” katanya dalam sidang media di LRT Masjid Jamek di ibu negara.

“Tak lama dalam bulan ini (siasatan selesai),” tambahnya.

"Kemudian pendakwa raya akan putuskan jika ada kes," katanya.

Pada Julai lalu SPRM membuka semula siasatan pembelian hotel empat bintang di Kensington, London antara 2013 dan 2015.

Agensi itu kemudian menyiasat pembelian satu lagi hotel oleg FIC di Kuching, Sarawak, tidak lama kemudian.

Pada 15 Ogos SPRM menahan bekas naib presiden Umno dan bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad mengikut Seksyen 16 Akta SPRM.

Mengenai FVG, SPRM turut menjalankan siasatan selepas Presiden syarikat itu Datuk Zakaria Arshad diarah bercuti oleh Isa.

Turut digantung daripada syarikat itu ialah Ketua Pegawai Kewangan FGV Ahmad Tifli Mohd Talha dan dua pegawai kanan lain.

Dzulkifli bagaimanapun hari ini enggan mengesahkan sama ada Zakaria adalah salah seorang suspek dalam siasatan mereka.

Mengenai status siasatan terhadap bekas pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa, Dzulkifli juga enggan memberi komen lanjut.

Berkenaan kedudukan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Dzulkifli menjelaskan SPRM masih belum dapat sebarang maklum balas daripada Peguam Negara.

Pada 25 Ogos lalu SPRM memberi tempo 48 jam kepada Lim untuk memohon maaf kepada agensi itu kerana menganggap penahanan salah seorang exco negeri, Phee Boon Poh, sebagai "haram".

SPRM memutuskan - pada 4 September lalu - untuk merujuk kes Lim kepada Peguam Negara selepas tiada permohonan maaf dibuat apabila tempoh yang diberikan itu berakhir.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS