Kerajaan hari ini berkata kempen anti-merokok yang membabitkan kos RM100 juta telah gagal, dengan jumlah perokok di kalangan wanita meningkat sekali ganda sejak ia dilancarkan tahun lalu.

Menurut laporan media, Menteri Kesihatan Datuk Chua Soi Lek berkata kempen lima tahun "Tak Nak" yang dilancarkan pada bulan Februari 2004 telah gagal untuk mencegah sikap merokok dan oleh itu, ianya akan dikaji semula.

"Malah, jumlah perokok di kalangan wanita bertambah sekaliganda," kata Chua dalam laporan akhbar the New Straits Times.

Kempen Tak Nak dengan peruntukan RM20 juta diperuntukkan pada tahun pertamanya, membabitkan pasangan papan iklan dan iklan di media, tetapi menerima kritikan daripada rakyat Malaysia kerana dianggap satu pembaziran dan tidak berkesan.

Chua juga menolak kajian sebuah universiti yang menunjukkan 1.1 juta rakyat Malaysia sudah berhenti merokok sejak tahun 1996, kerana menurutnya statistik menunjukkan sebaliknya.

"Bila kita semak, angka itu didapati tidak betul. Kita semak semula dengan syarikat-syarikat rokok, dan mereka mengakui yang jumlah perokok sebenarnya telah meningkat," katanya.

Satu kajian peringkat kebangsaan yang dijalankan tahun lalu menunjukkan 23.2 peratus rakyat dewasa di Malaysia merokok, manakala satu lagi kajian mendapat hampir 25 peratus remaja merokok.

Baru-baru ini, kerajaan telah mengambil langkah untuk mencegah tabiat merokok, dengan memasang tanda amaran kesihatan dan gambar-gambar di kotak rokok.

Pengharaman ditangguhkan

Bagaimanapun, Chan mengumumkan bahawa cadangan untuk mengharamkan penjualan kotak 14 batang rokok yang dikatakan amat diminati kumpulan remaja kerana harganya murah telah ditangguhkan sehingga tahun 2010 untuk membantu penanam tembakau di beberapa negeri.

"Keputusan itu dibuat kerana penanam tembakau di Terengganu dan Kelantan belum mampu beralih ke tanaman lain dan mereka memerlukan masa yang lebih lama untuk berbuat demikian," katanya.

Kumpulan anti-merokok mengecam penangguhan tersebut, yang menurut mereka, bertentangan dengan kempen kerajaan untuk mencegah tabiat merokok.

"Penerusan jualannya akan hanya meningkatkan tabiat merokok di kalangan remaja," kata Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Syed Mohamad Aljunid, dalam laporan dalam akhbar Star.

Malaysia juga memutuskan bulan ini untuk mengesahkan Konvensyen Rangkakerja Antarabangsa mengenai Kawalan Tembakau.

- AFP