Paling Popular
Terkini

Selama 36 tahun berkhidmat dengan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, bekas Ketua Istana Anak Bukit, Ahmad Arshad Ishak mengumpul banyak kenangan indah, terutama saat solat bersama baginda di dalam Kaabah ketika menunaikan haji pada 1974.

Itu kenangan yang beliau anggap terindah selama berkhidmat dengan Almarhum baginda sejak berusia 17 tahun lagi.

"Saya ikut Almarhum baginda menunaikan haji di Makkah semasa saya memegang jawatan Ketua Istana, dan apabila Almarhum baginda dapat masuk ke dalam Kaabah, saya berpeluang masuk sekali.

"Di dalam Kaabah, saya solat sunat bersama-sama Almarhum baginda. Itu merupakan kenangan terindah buat saya kerana saya sebagai rakyat biasa dapat solat bersama-sama baginda di dalam Kaabah," kata Ahmad Arshad, 70, ketika ditemui di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit, menziarah dan memberikan penghormatan terakhir terhadap jenazah Almarhum Sultan Abdul Halim.

Beliau mula berkhidmat di Istana Anak Bukit sebagai pelayan peribadi Almarhum baginda sebelum dilantik menjadi Ketua Istana dari tahun 1974 hingga 2004.

Ahmad berkata kali terakhir beliau menghadap Almarhum baginda ialah pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri lalu di bilik beradu Istana.

Walaupun Almarhum baginda kelihatan letih, namun masih boleh bergurau, katanya.

"Saya diberi peluang menghadap Almarhum baginda selama 35 minit dan sepanjang tempoh itu banyak yang dibualkan termasuk mengimbau kenangan sepanjang saya berkhidmat dengan Almarhum baginda," katanya.

Walaupun sedih dengan kemangkatan Sultan Abdul Halim, namun beliau tidak berasa ralat kerana dapat juga berjumpa dan berbicara semasa Aidilfitri itu.

Ahmad berkata beliau mendapat perkhabaran tentang kemangkatan Almarhum baginda daripada pihak Istana pada pukul 3 petang dan terus ke Istana Anak Bukit.

Almarhum baginda tidak cerewet dan mudah didekati yang menyenangkan urusan sepanjang tempoh berkhidmat dengan baginda, katanya.

"Bekerja dengan Almarhum baginda memang senang tapi Almarhum baginda sangat menitikberatkan tentang ketepatan masa dan pakaian yang dipakai perlu sentiasa kemas.

"Kalau pekerja ada buat salah pun Almarhum baginda tidak marah dan akan menegur dengan nada yang lembut dan memang cukup baik dalam menjaga hubungan bersama pekerja," kata Ahmad.

Almarhum baginda yang gemar makan kari ikan, ikan sepat kering goreng dan kuih pulut kacau tidak juga cerewet tentang makanan yang disediakan tukang masak Istana.

Beliau berkata Almarhum baginda juga sangat menitikberatkan pelajaran empat orang anak Ahmad sebelum ini, yang kini sudah berusia antara 27 dan 41 tahun.

"Almarhum baginda selalu berpesan kepada saya untuk pastikan anak-anak saya berjaya dalam pelajaran dan selalu menekankan tentang pentingnya ilmu dan pelajaran.

"Anak-anak saya juga sudah anggap Almarhum baginda seperti Tok Wan dan hubungan mereka dengan baginda Sultan rapat kerana setiap kali Hari Raya mereka akan menghadap Almarhum baginda," katanya.

Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, mangkat semalam pada usia 89 tahun, setelah memerintah Kedah selama 59 tahun. Sultan berjiwa rakyat ini menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.30 petang, di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS