Dr Mahathir: Imbangi AP kereta import dengan pengeluaran Proton
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan pemberian Permit Import (AP) untuk mengimport kereta, diseimbangkan dengan pengeluaran kereta Proton supaya jualan kereta nasional itu tidak terjejas dan boleh memberikan kesan negatif terhadap industri automotif negara.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan pemberian Permit Import (AP) untuk mengimport kereta, diseimbangkan dengan pengeluaran kereta Proton supaya jualan kereta nasional itu tidak terjejas dan boleh memberikan kesan negatif terhadap industri automotif negara.
Katanya, apabila kerajaan membuka kilang Proton, banyak pihak berpeluang menjadi ejen jualan kereta berkenaan, tetapi jika terlalu banyak AP diberikan, banyak ejen terpaksa menutup perniagaan mereka.
"Kena seimbang antara pemberian AP dengan penjualan kereta Proton, kerana tidak mahu penjualan Proton terjejas serta menyebabkan banyak pihak lain seperti ejen jualan dan vendor menutup perniagaan," katanya.
Beliau menegaskan demikian dalam ucapannya di majlis sambutan hari ulangtahun beliau yang ke-80, yang diraikan oleh Naza Automotive Manufacturing Sdn Bhd, pengeluar kenderaan
Naza, di Gurun,Kedah hari ini.
Semasa diminta mengulas mengenai perkara itu dalam sidang akhbar kemudiannya, Dr Mahathir berkata: "Kena ada imbangan, kalau nak bagi AP jangan sampai mati Proton dan kalau nak bagi Proton maju, jangan bagi sampai mati pihak lain".
Menurut laporan Bernama, beliau bagaimanapun berkata tiada formula tertentu dalam menyeimbangkan pengeluaran AP itu.
Dr Mahathir berkata, semasa beliau menjadi Perdana Menteri, kerajaan melaksanakan pemberian AP bagi memberi peluang bumiputera menjadi usahawan menjual kereta import, tetapi ada pihak menyalahgunakan keistimewaan itu dengan "membuka kedai menjual AP".
Naza labur RM220 juta
"Kerana AP, ramai usahawan berjaya membuka kedai menjual kereta import, tetapi ada antara mereka itu mengambil jalan mudah mengaut keuntungan dengan menjual AP berkenaan," katanya.
Mengenai majlis sambutan hari jadi itu, beliau melahirkan rasa syukur kerana majis itu dihadiri lebih 1,000 orang, kebanyakannya penduduk sekitar Gurun.
Sementara itu, ketika berucap di majlis tersebut, Pengarah Urusan Kumpulan Naza, Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin, berkata Naza Automotive Manufacturing (NAM) pengeluar kereta Naza yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Gurun akan menambah pelaburan sebanyak RM220 juta bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran kilang berkenaan.
Menurutnya, berkata perbelanjaan itu, antara lain, adalah untuk menambah peralatan, mengeluarkan komponen tertentu sendiri (in-house) dan bagi pemasangan enjin.
Pada masa ini, katanya, kilang berkenaan berkemampuan mengeluarkan 50,000 unit kenderaan setahun bagi model Naza Ria dan Citra. Hujung tahun ini, dua lagi model bakal dikeluarkan iaitu kenderaan sport utiliti (SUV) dan kenderaan penumpang.
"Pengeluaran dua model baru itu masing-masing adalah dengan kerjasama KIA Motor Corporation dan pengeluar kenderaan ternama dari Perancis," katanya.
SM Nasimuddin berkata setakat ini syarikat berkenaan telah melabur sejumlah RM385 juta untuk membangunkan kilang di Gurun itu sejak ia mula beroperasi pada 2 Ogos 2004.

