Kerajaan Kedah telah meluluskan projek pembinaan 160 rumah untuk mangsa tragedi tsunami yang melanda Kota Kuala Muda hujung tahun lalu, kata Pemangku Menteri Besar Kedah, Datuk Mahadzir Khalid.

Beliau berkata, kerja-kerja pembinaan rumah tersebut sudah dimulakan termasuk pembinaan sebuah masjid untuk kegunaan masyarakat di kawasan terbabit.

"Baki unit rumah tersebut akan diberikan kepada peserta Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)," katanya kepada dua Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Siva Subramaniam dan Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan dalam pertemuan di Alor Star baru-baru ini.

Menurut Prof Mohd Hamdan, Suhakam mengadakan pertemuan dengan Mahadzir berikutan beberapa aduan yang diterima oleh suruhanjaya itu daripada penduduk setempat selain untuk menerangkan peranan dan mempromosi Suhakam kepada rakyat Kedah.

Katanya, Mahadzir memberitahu beliau bahawa kerajaan negeri menyambut baik program Suhakam dan ia memberi manfaat kepada rakyat Kedah terutama membabitkan masalah mengenai hak asasi manusia.

Pengambilan tanah

Katanya, dalam pertemuan itu juga, Suhakam telah membangkitkan mengenai pengambilan tanah penduduk Kampung Datuk Murad dan Kampung Tok Bidan di Mukim Alor Balai, Kota Setar yang dikatakan dibuat tanpa mengikut prosedur yang betul.

Beliau berkata, penduduk terbabit mendakwa mereka diberitahu secara perseorangan mengenai pengambilan tersebut dan bukannya secara kerkelompok.

"Pada bulan Mei dan Jun lalu, penduduk membuat rayuan kepada Suhakam supaya tanah mereka tidak diambil," katanya.

Menurutnya, Mahadzir telah berjanji untuk menimbang semula perkara itu dan membincangkannya dalam mesyuarat Exco serta memberitahu keputusannya kepada Suhakam.

Prof Mohd Hamdan berkata, masyarakat India membangkitkan isu penyembelihan khinzir di sebelah Kuil Sri Subramaniam di Sungai Petani dan mendakwa Majls Perbandaran Sungai Petani tidak memberi sebarang jawapan.

Katanya, Mahadzir berjanji akan membawa masalah tersebut untuk dibincangkan di dalam mesyuarat exco kerajaan negeri dan memberi jaminan jika kelulusan telah diberikan ia akan dipindahkan ke tempat lain.