ISA kasih sayang kjaan untuk rakyat
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bertujuan "mengasuh" tahanan dan tanda "kasih sayang" kerajaan kepada rakyat, dakwa seorang timbalan menteri ketika mempertahankan penggunaan akta itu di Dewan Rakyat hari ini.
"Kita (kerajaan) menangkap sama ada pelajar, atau bukan pelajar, atau sesiapa sahaja yang dirasakan penting untuk dikawal selia, diasuh agar mereka tidak terjerumus dan hancur," kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Zainal Abidin Zin, ketika membahaskan usul tergempar petang tadi.
"Kita menangkap bukan untuk membunuh tetapi itulah tahap kasih sayang kita (kerajaan) kepada mereka (rakyat). Kita bela mereka kerana kita sayang mereka. Kita tangkap kerana kita hendak menjaga dan membentuk minda (mereka)," katanya.
Usul itu, dikemukakan oleh Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) pagi tadi, menggesa sidang dewan ditangguh bagi "merundingkan isu penangkapan beberapa pemimpin mahasiswa di bawah ISA yang secara jelas menafikan hak dan kebebasan asasi rakyat seperti mana yang diperuntukkan oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan."
Pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Khairul Anuar Ahmad Zainuddin ditahan 5 Julai, sementara Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohamad Fuad Mohd Ikhwan pula ditangkap sehari selepasnya.
Pemimpin pelajar UM itu dibebaskan Isnin, sementara Khairul Anuar masih lagi dalam siasatan polis.
Membakar bangunan
Zainal Abidin menambah, ISA bertujuan "menyelamatkan, bukannya untuk menghancurkan" seseorang kerana hanya dua daripada lebih kurang 250,000 pelajar pusat pengajian tinggi dikenakan tindakan itu.
Pandangannya ini menyebabkan wakil-wakil pembangkang menepuk meja dan membuat bising seketika sebagai bantahan.
Timbalan menteri itu menegaskan, akta itu bukan hanya bertujuan menyekat kegiatan komunis seperti yang dihujahkan oleh Mahfuz.
"Akta ini digunakan bukan untuk komunis tetapi mereka yang mengamalkan amalan-amalan komunis," kata Zainal Abidin, dan menambah amalan-amalan itu termasuklah "membakar bangunan dan kenderaan, menahan orang, membunuh serta menghuru-harakan negara."
Mahfuz, ketika membentangkan usul, berkata ISA tidak lagi relevan dan telah disalahgunakan.
"Ia bukannya digunakan bagi menjamin keselamatan negara, sebaliknya digunakan untuk menahan penentang politik (parti kerajaan)," tegasnya.
Mahfuz juga berkata kerajaan tidak menghiraukan pandangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengenai akta ini, dan menyifatkan penubuhan badan itu sebagai "gincu" politik kerajaan.
Suhakam menggesa akta itu dikaji semula dengan alasan penahanan tanpa bicara bertentangan dengan hak asasi manusia.
Pemimpin pembangkang itu turut menggesa ISA dikaji semula atau dimansuhkan. Bagaimanapun, Zainal Abidin berkata ia tidak perlu dimansuh kerana digunakan untuk mereka yang melakukan kesalahan sahaja.
"ISA hanya digunakan kepada rakyat Malaysia atau rakyat asing yang masuk ke negara ini dan melanggar peraturan-peraturan negara ini; dan (kegiatan mereka) boleh mendatangkan mudarat, kerosakan dan perpecahan," katanya.
Kerajaan 'bersifat bebal'
Beliau memberitahu dewan, penahanan dua pemimpin pelajar baru-baru ini "prosedur biasa" yang boleh diambil terhadap sesiapa bagi membantu siasatan pihak polis.
"Mohamad Fuad telah dibebaskan selepas siasatan polis mendapati beliau tidak terlibat secara aktif. Bukan tidak terlibat, tetapi 'tidak terlibat secara aktif' dalam kegiatan yang mengancam keselamatan negara," katanya.
"Sementara Khairul Anuar masih ditahan kerana siasatan ke atasnya belum selesai. Ini menunjukkan bahawa ISA tidak sewenang-wenangnya digunakan oleh kerajaan."
Ketika menggulung hujahnya, Zainal Abidin berkata: "Usul untuk menghapuskan kuasa ISA dan penggunaannya (akta ini), buat sementara ini, kita (kerajaan) tidak boleh pertimbangkan."
Mahfuz, ditemui selepas sidang itu, berkata keengganan kerajaan mengkaji semula atau memansuhkan akta itu menunjukkan "sifat bebal".
"Sepatutnya kerajaan tidak boleh bersifat bebal dan terlalu ego menggunakan kuasa hingga tidak mahu melihat hujah-hujah yang rasional," katanya.
Beliau mendakwa kerajaan sendiri yang mengamalkan "amalan-amalan komunis", bukannya mereka yang ditangkap di bawah akta itu seperti didakwa timbalan menteri itu.
"(Kerana) akta itu sendiri menghukum mereka yang ditangkap tanpa membicarakan mereka terlebih dahulu," katanya, yang pernah ditahan selama hampir dua tahun di kem Kamunting dalam Operasi Lalang 1987.
Usul ini turut dibahaskan selama sejam oleh Datuk Mohd Zin Mohamed (BN-Shah Alam), Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong), Abdul Rahman Yusof (Keadilan-Kemaman), Mohd Apandi Mohamad (PAS-Jeli) dan Wan Junaidi Tuanku Jaafar (BN-Batang Lupar).

