Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kelantan pandai melancong, bukan tarik pelancong'
Diterbitkan:  Sep 13, 2017 12:40 PM
Dikemaskini: 5:07 AM

Pakatan Harapan Kelantan berikrar mahu membangunkan semula sektor pelancongan negeri jika berjaya merampas negeri itu daripada PAS dalam pilihan raya umum depan.

Menganggap sektor itu sebagai “sumber kekayaan baru”, pengerusinya Datuk Husam Musa berkata pelancongan dan kebudayaan tidak boleh dipisahkan dengan negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

"Berbanding sumber-sumber lombong, balak dan lain-lain yang tidak lestari, aset pelancongan di Kelantan terlalu banyak,” katanya.

"Sungai Kelantan daripada Hulu sehingga Kuala dan segala cabang-cabang sungai, pulau-pulau Kelantan walaupun bukan pulau laut, tinggalan sejarah, warisan budaya, kedudukan strategik Kelantan, semuanya adalah aset pelancongan yang dibazirkan oleh kerajaan PAS Kelantan pada hari ini.”

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu mendakwa, exco kerajaan negeri yang ada sekarang dilihat tidak fokus dalam usaha pembangunan pelancongan Kelantan.

"Kita boleh bertanya hari ini, apakah usaha yang dilakukan oleh exco pelancongan dulu dan hari ini? Boleh atau tidak kerajaan Kelantan bentang apakah pelan pelancongannya?

"Tidak ada. Yang ada hanyalah kerajaan yang melancong. Melancong lebih banyak dari membawa pelancong ke Kelantan," jelas bekas exco kanan ketika pentadbiran allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat itu.

Contohi China, Vietnam

Husam yang juga naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, Kelantan perlu mencontohi usaha seperti negara China dan Vietnam.

Di negara China, menurutnya, ada satu anak kampung yang berlatarbelakang gunung dan sungai.

"Kerja orang kampung adalah nelayan sungai. Pendapatan rendah dan pelancong tidak datang.

“Akhirnya dilaksanakan satu idea membuat pentas yang terapung di atas sungai dan diletakkan unsur lampu dan bunyi-bunyian.

"Seramai 300 orang nelayan di situ membuat kerja sampingan untuk membuat persembahan budaya menjadi sumber pendapatan penduduk setempat," katanya.

Di Kelantan tambah beliau, mempunyai seni persembahan seperti dikir barat dan wayang kulit yang konsepnya dijadikan menjadikannya lebih Islamik.

"Tempat-tempat seperti Pulau Gagak, Pulau Pok Nik Mat, Pulau Seratus dan banyak pulau yang berada dalam kawasan menteri besar hari ini yang boleh dimanfaatkan tapi gagal untuk dimanafaat.

"Inilah juga yang dibuat di Ho Chin Minh dan Saigon, Vietnam yang memanfaatkan Sungai Mekong.

"Pelancong naik bot ke kuala sungai untuk melihat Terowong Nipah. Tiga ratus bot setiap hari dengan dua pemandu bot. Peluang pekerjaan kepada 600 orang dan hari Ahad dibuat dua perjalanan setiap bot," jelasnya di blog.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas kerajaan negeri berkaitan dakwaan itu.

Lihat Komen
ADS