Ingatan Kerk pada Tsu Koon: Jangan termasuk perangkap Keng Yaik
Calon presiden Gerakan, Datuk Kerk Choo Ting hari ini mendakwa bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon akan termasuk ke dalam 'perangkap' Datuk Seri Lim Keng Yaik.
Calon presiden Gerakan, Datuk Kerk Choo Ting hari ini mendakwa bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon akan termasuk ke dalam 'perangkap' Datuk Seri Lim Keng Yaik.
Menurutnya, Keng Yaik telah mengubah pendiriannya sebelum ini bahawa dalam tempoh 10 tahun, beliau mahu Kerk menggantinya, tetapi sekarang mendakwa akar umbu mahu Dr Koh memimpin parti itu.
"Jika beliau (Keng Yaik) mahu Tsu Koon menjadi presiden, beliau perlu bersara sekarang dan bukannya berkata 'mungkin saya akan bersara pada tahun 2007 atau 2008'. Bila masa itu tiba, beliau akan berkata pula kepada Tsu Koon 'awak tunggu sedikit masa lagi kerana pilihanraya umum sudah dekat'," kata Kerk.
"Sudah sudah melalui perkara yang sama. Beliau memberitahu saya yang akar umbi masih mahukannya, beliau masih perlu menyudahkan tugasnya, CC (jawatankuasa pusat) minta beliau jangan bersara...pelbagai alasannya. Jadi, kali ini, saya berharap Tsu Koon bersikap bijak dan tidak termasuk ke dalam perangkap ini," katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya.
Kerk berkata, Keng Yaik mungkin sedang memikirkan untuk membina dinasti politiknya dalam Gerakan.
"Pada padangan saya, beliau sedang memikirkan untuk kekal menjadi presiden dan (wujudkan) dinasti Lim.
"Apabila saya bercakap dalam dinasti korporat di satu majlis, saya terperanjat kerana pada hari berikutnya, beliau menjawab yang beliau tidak merancang mewujudkan dinasti Lim," katanya.
Beliau juga mempertikaikan kenyataan Keng Yaik semalam bahawa Kerk telah mengabaikan peluangnya untuk mengambil alih kepimpinan parti pada tahun 1995, sambil menambah Keng Yaik sentiasa mencurigainya.
"Bila saya turun (sebelum ini) untuk menemui ahli-ahli di peringkat cawangan dan bahagian serta mendapatkan liputan media, Saya dianggap cuba memperkukuhkan sokongan untuk menentang presiden," katanya.
Peralihan kepimpinan
"Apakah anda pasti beliau akan bersara pada tahun 2007 atau 2008?" soal Kerk, yang menjadi timbalan Keng Yaik sejak 16 tahun lalu.
Katanya, Keng Yaik yang juga Menteri Komunikasi, Tenaga dan Air, mengamalkan dasar pecah-dan-perintah di samping menggunakan tekanan politik untuk mengekalkan kuasanya.
"Contohnya, melagakan(Naib Presiden Dr Koh) Tsu Koon dengan saya. Pecah dan perintah bukan sahaja wujud di peringkat kebangsaan, tetapi juga di peringkat negeri, bahagian dan cawangan. Saya telah menerima laporan mengenainya," tambahnya.
Kerk turut menceritakan bagaimana seorang pemimpin bahagian Taiping yang mempersoalkan anak Keng Yaik Sin Pin (ketika menjadi bendahari Pemuda) berhubung beberapa isu, telah diberitahu oleh presiden supaya 'diam'.
"Kesimpulannya, jika anda tidak menyokong Keng Yaik atau bertanya terlalu banyak soalan [...] jaga-jagalah, kedudukan anda akan terancam," katanya, sambil menambah bahawa tekanan dari presiden menyebabkan ahli akar umbi takut untuk menemuinya.
Mengenai isu peralihan kepimpinan, Kerk berkata, presiden telah membuat keputusan sendiri (mengenai perkara-perkara) yang sepatutnya diputuskan oleh perwakilan
Kerk juga menolak dakwaan Keng Yaik, jika perwakilan memilihnya, bermakna Tsu Koon terpaksa menunggu sembilan tahun untuk menjadi presiden.
"Saya telah menyatakan bahawa saya akan bersara sebelum tiga penggal. Saya bukan gila kuasa, tujuan saya ialah untuk memberi pembaharuan dan meningkatkan budaya politik dalam Gerakan," katanya.
Masih popular
Kerk juga menafikan dakwaan Keng Yaik yang beliau tidak popular di kalangan ahli akar umbi.
"Jika ahli akar umbi tidak mahukan saya, saya sudahpun ditendang keluar apabila saya dicabar untuk jawatan timbalan presiden pada tahun 1999 dan 2002. Sebaliknya, dalam kedua-dua pemilihan tersebut, saya menerima lebih 70 peratus undi.
"Adalah undi lebih 70 peratus perwakilan itu bukan ahli akar umbi," soalnya.
Kerk menafikan yang beliau telah dipengaruhi oleh Naib Presiden Datuk Dr Tan Kee Kwong supaya mencabar Keng Yaik.
"Tan bukan'batu api'. Saya yang membuat keputusan sendiri untuk mencabar Keng Yaik selepas mendapat pandangan akar umbi dan Tan adalah antara pemimpin akar umbi.
"Tan kecewa, bukan kerana beliau tidak diberi jawatan timbalan menteri, tetapi kerana kekecewaannya terhadap Keng Yaik.
Hadir sama di sidang akhbar tersebut ialah Tan dan calon Ketua Wanita, Surin Leong.

