Menteri Pengangkutan: Kerajaan kecewa MAS rugi
Kementerian Pengangkutan kecewa dengan prestasi kewangan Malaysia Airlines (MAS), dan mahu pasukan baru yang menerajui syarikat penerbangan nasional itu, mengemukakan cadangan untuk mengubah keadaan itu.
Kementerian Pengangkutan kecewa dengan prestasi kewangan Malaysia Airlines (MAS), dan mahu pasukan baru yang menerajui syarikat penerbangan nasional itu, mengemukakan cadangan untuk mengubah keadaan itu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy, berkata tidak ada sebab mengapa MAS tidak boleh menjadi sebuah syarikat penerbangan yang meraih untung sepertimana syarikat-syarikat penerbangan serantau yang lain, yang berjaya mengaut keuntungan ketika harga minyak semakin meningkat.
"Tentulah kita tidak berpuas hati dengan prestasi (MAS) itu. Saya harap pasukan baru ini boleh mengkajinya secara menyeluruh agar mereka boleh mengatasi sebarang kelemahan yang ada dan mempertingkatkan daya saingan syarikat penerbangan ini dalam semua aspek," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Menurut laporan Bernama, Chan berkata demikian bagi mengulas kerugian sebanyak RM280.7 juta yang dialami MAS bagi tempoh tiga bulan berakhir 30 Jun 2005 yang diumumkan Isnin lalu.
Semasa mengumumkan keputusan kewangan MAS itu, Pengerusinya, Datuk Dr Munir Majid, juga mengumumkan peletakan jawatan Pengarah Urusan MAS, Datuk Ahmad Fuaad Dahalan, berkuatkuasa Isnin lalu.
Tanggungjawab sosial
Menjawab satu soalan, Chan berkata kerajaan sentiasa sedar tentang keperluan mendesak untuk memperkemaskan laluan domestik MAS, yang perinciannya akan diumumkan apabila siap kelak.
Beliau juga ditanya mengenai dakwaan beberapa penganalisis bahawa MAS tidak meraih keuntungan kerana ia terpaksa melaksanakan tanggungjawab sosialnya dengan mengadakan penerbangan dalam sektor-sektor yang merugikan.
Beliau menjawab: "Memanglah, MAS, sebagai sebuah syarikat penerbangan nasional, selain memikirkan keuntungan, perlu melaksanakan beberapa tugas nasional. Itu memang benar. Tetapi, kerajaan juga banyak membantu MAS.
"Walau apapun, kita tidak mahu mencari kesilapan sesiapa tetapi kita harap pasukan baru (dalam MAS) boleh mencari jalan untuk mempertingkatkan daya saingan MAS."
Walaupun MAS menghadapi masalah kewangan, namun, kata Chan ia masih merupakan sebuah syarikat penerbangan yang baik, dan produk dan perkhidmatan diterima baik di peringkat antarabangsa.

