'Kenapa mendanai AS, tapi minta China labur dalam negara'

   

Ketua pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad mempertikai sebab untuk Malaysia melabur dalam infrastruktur di Amerika Syarikat (AS) manakala meminta pelaburan dari China untuk pembangunan dalam negara.

Ia susulan pertemuan perdana menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dengan presiden AS Donald Trump. Perdana menteri berkata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melabur kira-kira AS$3 bilion ke AS$4 bilion dalam projek-projek infrastruktur di AS.

"Mengapa Malaysia ingin memperkukuhkan Amerika? Apakah impak kita jika ada pun dalam perkara ini?

"Pada masa yang sama adalah aneh untuk kita melabur dalam infrastruktur Amerika tetapi meminta pelaburan untuk projek di negara kita sendiri daripada China," kata Nik Nazmi dalam suatu kenyataan hari ini.

Najib dalam pertemuan beliau bersama Trump berkata Malaysia mahu membantu 'memperkukuh ekonomi AS'.

Selain daripada pelaburan KWSP, Najib berkata Khazanah Nasional Berhad berhasrat meningkatkan pelaburan mereka dalam syarikat-syarikat berteknologi tinggi selain rancangan membeli di antara 33 ke 58 buah pesawat Boeing, urus niaga yang dijangka bernilai AS$10 bilion selama lima tahun.

Najib kemudiannya berkata beliau ada membangkitkan nasib masyarakat Rohingya dengan Trump tetapi Nik Nazmi membidas kenyataan tersebut.

"Berdasarkan catatan White House, isu Palestin dan Rohingya tidak disebut di dalam pertemuan tersebut," katanya.

Dalam kenyataan itu lagi, Nik Nazmi turut mempertikai penginapan Najib di Trump INternational Hotel di Washington DC, menyebutnya sebagai konflik kepentingan.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda