Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Beberapa pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini mengajuk Donald Trump sebagai menyindir pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan presiden Amerika Syarikat (AS) itu.

Ketika sesi bergambar selepas sidang media di Petaling Jaya pagi tadi, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua dan Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzin mengenakan rambut palsu berwarna perang dan kot seperti Trump.

Sim dan Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (AMANAH) Dzulkefly Ahmad turut memakai tali leher merah yang sinonim dengan pemimpin kontroversi itu.

Bersama-sama Pengerusi Biro Strategi dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Rais Hussin, mereka mengangkat plakad berwarna biru tertulis "Trump: Make America Great Again".

Sim dan Dzulkefly turut mengangkat plakad yang tertulis "Thank you Mr Najib. xoxo Donald". Xoxo adalah singkatan yang biasa digunakan bermaksud 'pelukan dan ciuman'.

Pembangkang sebelum ini mengkritik kenyataan Najib di Washington yang negara akan membantu mengukuhkan ekonomi AS.

Mereka berkata Najib sepatutnya menumpukan perhatian terhadap ekonomi negara dahulu, bukannya kuasa dunia itu.

Ketika sidang media, Pua membacakan kenyataan bersama HARAPAN yang menggesa sidang parlimen tergempar diadakan bagi membahaskan kenyataan Najib terhadap Trump.

"Video pertemuan itu yang tular ke seluruh dunia menunjukkan seorang perdana menteri yang terdesak sedang membayar ufti kepada tuannya.

"Najib perlu menjelaskan kepada 30 juta rakyat Malaysia, mengapa beliau berkelakuan seperti pemimpin sebuah negara naungan kepada 'imperial' hanya beberapa hari selepas kita menyambut ulang tahun ke-60 kemerdekaan," katanya.

[Baca berita penuh]
 

Lihat Komen
ADS