Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Dari tingkat 3, kami gelongsor guna batang paip'

Pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Danial Borhan berjaya menyelamatkan diri daripada kebakaran awal pagi tadi dengan menggelongsor menggunakan batang paip daripada tingkat tiga bangunan.

Menceritakan detik penuh cemas itu, Danial, 15, berkata dia bersama-sama 13 rakan lain berjaya menyelamatkan diri di saat bilik mereka dijilat api yang sedang marak.

Malah dia berkata dua pelajar terpaksa terjun daripada tingkap.

"Semua mangsa terselamat menggelongsor ikut batang paip. Ada lagi dua orang melalui tingkap.

"Saya bangun sekitar pukul lima pagi dan mula nampak api marak daripada pintu utama bilik kami. Saya juga terhidu asap gas tetapi tidak pasti objek di hadapan pintu yang menyebabkan kebakaran," katanya.

Beliau ditemui pemberita sebentar tadi di surau Ittifaqiyah berhampiran pusat tahfiz yang menjadi tempat berkumpul pelajar, kakitangan dan ibu bapa mangsa.

Menurut Bernama, polis mengesahkan sekurang-kurangnya 24 penghuni terkorban dan enam mengalami kecederaan kritikal dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata pusat itu hanya mempunyai satu pintu keluar masuk, menyebabkan sebahagian penghuni terperangkap serta gagal menyelamatkan diri.

Saat cemas tunggu bomba

Danial meluahkan rasa sedihnya kerana tidak dapat membantu menyelamatkan rakan-rakan yang lain kerana keadaan yang sangat panas dengan api yang marak.

"Kebanyakan yang meninggal pelajar senior yang sudah lama tinggal di sini," katanya.

Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah mempunyai 36 bilangan pelajar.

Sementara itu pekerja pusat tahfiz, Mohd Arif Mawardy, 24, berkata punca kejadian mungkin disebabkan dua tong gas di luar pintu bilik di tingkat tiga yang terbakar.

"Saya sedar api mula marak pukul 5.30 pagi. Bila sedar saya mula panggil empat guru di tingkat dua sebab saya berada di aras yang sama.

"Saya cuba selamatkan seberapa banyak pelajar tetapi tidak boleh sebab api terlalu marak. Kita terpaksa turun sehingga bomba datang," katanya.

Lihat Komen
ADS