Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kronolgi kes kebakaran pusat tahfiz sejak 2007
Diterbitkan:  Sep 14, 2017 6:18 PM
Dikemaskini: 10:36 AM

Kebakaran bangunan asrama Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di ibu negara pagi ini adalah antara kebakaran terbesar melibatkan kematian yang tinggi di negara ini, seramai 23 orang.

Dalam kejadian hampir waktu Subuh itu, 21 pelajar lelaki berumur 13 hingga 17 tahun dan dua orang guru yang juga warden asrama maut manakala tujuh lagi menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur berikutan kebakaran yang dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan memandang serius kes itu dan sehingga ini sebanyak 31 kes kebakaran melibatkan pusat tahfiz dilaporkan berlaku di seluruh negara sejak 2011.

Berdasarkan rekod Bernama, kebakaran terbesar membabitkan warga pusat tahfiz yang mendapat liputan meluas berlaku pada 22 Sept 1989 yang menyaksikan lapan buah asrama Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Al-Khairiah Al-Halimiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya di Yan, Kedah hangus terbakar.

Dalam kebakaran itu, seramai 27 pelajar sekolah terkorban dalam keadaan yang sungguh tragis dan jenazah mereka dikebumikan di tanah perkuburan khas "27 Syuhada Peristiwa Kebakaran Pondok Pak Ya" di Padang Lumat, Yan.

Berikut adalah kronologi insiden kebakaran melibatkan sekolah agama dan tahfiz di seluruh negara sejak 2007:

2017

  • 13 Jan : Seorang murid tahfiz cedera dalam kebakaran asrama Pondok Nurul Iman di Kampung Tanjung Batu, Nenasi, Pekan.
     
  • 16 Jan : Seramai 113 pelajar Pusat Pendidikan Islam an-Nuur atau lebih dikenali Pondok an-Nuur di Pantai Sepat, Kuantan hilang tempat tinggal selepas asrama mereka musnah terbakar. (Ini merupakan kejadian kedua selepas kejadian pertama pada tahun 2006, juga melibatkan asrama pelajar).
     
  • 7 Feb : Seramai 73 pelajar perempuan Sekolah Agama Maran di Pahang tinggal sehelai sepinggang setelah asrama kediaman mereka musnah sepenuhnya dalam kebakaran.
     
  • 28 Feb : Sebanyak 40 pondok kediaman yang menempatkan 100 pelajar berumur antara 15 dan 30 tahun di Pondok Al-Baghdadi, Tumpat hangus terbakar, namun kesemua pelajar terselamat.
     
  • 17 April : Sebanyak 10 pondok kediaman pelajar Pusat Pengajian Pondok Seri Permai, Permatang Sungkai di Pasir Puteh, Kelantan musnah dalam kebakaran menyebabkan kerugian kira-kira RM161,000.
  • 30 April : 30 pelajar Mahaad Tahfiz Al-Quran Al-Ismailiah Mukim Lalang, Banggol Chicha, Pasir Mas tinggal sehelai sepinggang apabila asrama penginapan mereka musnah dalam kebakaran.
  • 3 Julai : Bilik stor di bawah tingkat asrama yang didiami 68 pelajar perempuan di Sekolah Agama Maahad Al-Islah di Teluk Intan, Perak musnah dijilat api.
  • 4 Julai : 18 pondok penginapan Madrasah Addiniah Al-Latifiah di Pengkalan Hulu, Kelantan yang menempatkan 66 penuntut musnah dalam kebakaran.
     
  • 30 Julai : Dua blok asrama yang menempatkan 100 pelajar lelaki Maahad Tahfiz Al-Barakah di Sepang musnah dalam kebakaran.
  • 14 Sept : Seramai 21 pelajar dan dua guru maut dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di Kuala Lumpur.

Kejadian dipercayai berpunca daripada litar pintas yang berlaku di hadapan pintu masuk bilik asrama tingkat paling atas bangunan tiga tingkat itu.

2016

  • 18 Jan : Bangunan dua tingkat termasuk asrama menempatkan 30 pelajar Madrasah Tahfiz Al-Redzuan musnah dalam kebakaran di Kampung Dato Ahmad Razali, di Dengkil.
  • 7 Mac : Seramai 60 pelajar Maahad Tahfiz Darul Itqan Al-Muhammadi hilang tempat tinggal apabila asrama mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Batu 40, Sabak Bernam.
  • 3 Mac : Asrama pelajar Maahad Tahfiz at-Tijarah di Jalan Bukit Idaman 8, Bukit Idaman di Selayang, antara yang musnah dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah kedai tiga tingkat.
     
  • 11 Mei : Sebuah bangunan dua tingkat asrama Madrasah Tahfiz Al-Quran Raudhatul Ulum, Bagan Selat, di Butterworth musnah dalam kebakaran manakala penghuninya terselamat.
     
  • 18 Jun : Asrama Madrasah Diniah Bakriah Pondok Pasir Tumboh yang menempatkan lebih 50 penghuni hangus dalam kebakaran, bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan melaporkan ini kebakaran kedua di lokasi sama selepas yang pertama pada Julai 2016)

 

  • 22 Sept : Sebuah pondok lama di Maahad Tahfiz Daril Naim, Pangkal Kala, Melor, di Kota Bharu, musnah terbakar.

2015

  • 6 Mei: Sebuah premis yang menempatkan barang keperluan pelajar Pusat Pengajian Islam dan Tahfiz Ribat Assyafie di Taman Murni Perdana di Dungun musnah dalam kebakaran.
     
  • 13 Mei : Sebuah bangunan yang menempatkan asrama bagi 26 orang pelajar Tahfiz Khairul Kalam di Jalan Kebun di Shah Alam terbakar.
     
  • 29 Julai : Tiga pelajar Sekolah Agama Raudhatut Tahfiz di Km 2, Jalan Gunung Jerai di Guar Cempedak melecur dalam kebakaran bangunan asrama mereka.

 

  •  28 Ogos : Sebuah asrama Madrasah Tahfiz Al-Zahra di Kampung Ladang, Gelang Patah di Johor Baharu terbakar kira-kira 6 pagi.

 

  •  21 Okt : Kebakaran memusnahkan 70 peratus Sekolah Agama Al Ummi Tahfiz al-Quran di Labuan, bagaimanapun, semua pelajar dan gurunya selamat.

2014

  • 4 Feb : Sebanyak 17 pelajar Maahad Tahfiz Muhammadiah, Bukit Rangin di Kuantan tinggal sehelai sepinggang apabila bangunan madrasah dua tingkat yang turut menempatkan asrama mereka musnah dalam kebakaran.

2013

  • 15 Jun : Seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantab), Kampung Masjid, Tikam Batu, dekat Sungai Petani, maut manakala dua rakannya cedera dalam kebakaran di asrama Maahad berkenaan.
     
  • 4 Julai: Sejumlah 81 pelajar Sekolah Menengah Agama Kunak di sini tinggal sehelai sepinggang selepas asrama sementara yang menempatkan pelajar lelaki musnah dalam kebakaran

2012

  • 9 Sept : Tingkat dua sebuah bangunan yang menempatkan asrama dihuni 25 pelajar Maahad Tahfiz Assyifa di Kampung Kolam, Kuala Ibai di Kuala Terengganu, terbakar dalam satu kejadian ketika pelajar solat Zuhur di surau berhampiran.
  • 25 Jan: Sebuah asrama pelajar lelaki di Sekolah Menengah Agama Nadzah, Bukit Besar di Yan, Kedah hangus dalam kebakaran dipercayai akibat litar pintas sebelum merebak ke seluruh bilik dan memusnahkan katil, tilam dan segala kelengkapan pelajar.

Pada 1996 dan 2005, berlaku kebakaran di sekolah yang sama membabitkan sebuah blok asrama pelajar perempuan.

2011

  • 16 Jan : Tingkat atas bangunan Sekolah Maahad Qiraat Al-Azhar Amal Aimy Zdalifah setinggi dua tingkat di Km3, Jalan Sungai Korok, Lebuh raya Sultan Abdul Halim di Alor Setar musnah dalam kebakaran kira-kira 10.50 pagi.

2010

  • 22 Jan : Sekolah Pondok Lubuk Tapah, pusat agama dan pendidikan tertua di Kelantan musnah dalam kebakaran.
     
  • 25 Julai: Seorang pelajar berusia lapan tahun di sekolah agama swasta di Hulu Langat rentung setelah terperangkap dalam kebakaran pukul 1.30 pagi yang memusnahkan bangunan menempatkan Pusat Pengajian Hayatul Ulum pada pukul 1.30 pagi.

2009

  • 1 Jan : Kebakaran yang berlaku di sebuah bangunan dua tingkat di Sekolah Madrasah Darul Hikmah, di Kota Kinabalu menyebabkan kerugian kira-kira RM200,000, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

2007

  • 7 Ogos : Seramai 12 pelajar Sekolah Menengah Agama Darul Makmur di Pekan, Pahang tidak dapat menduduki ujian lisan al-Quran Sijil Sekolah Menengah Agama (SMA) setelah bangunan sekolah mereka musnah dijilat api dalam kejadian pada pukul 4.45 pagi.

Kebakaran itu mengakibatkan empat buat kelas, sebuah bilik komputer, bilik guru dan bilik pengetua termasuk wang tunai RM8,500 hangus.

  • 22 Sept : Sebuah kebakaran memusnahkan 40 pondok di Sekolah Pondok Bandar Hilir di Teloi, Sik, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan kerana kejadian berlaku pada musim cuti persekolahan.
  • 22 Okt : Sebuah blok asrama yang menempatkan 96 murid di Sekolah Nurul Hidayah Al-Quran Maahad Tahfiz Pasir Putih hangus dijilat api, namun kesemua pelajar selamat kerana mereka ketika itu menghadiri kelas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS