Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kerajaan Selangor telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk membentangkan pelan tindakan bagi mengelakkan tragedi yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah semalam daripada berulang.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia penting demi menjamin keselamatan pelajar dan guru sekolah tahfiz di negeri itu.

"Semalam saya telah memanggil satu perbincangan dengan pegawai kewangan negeri dan kita meminta JAIS membentangkan maklumat terkini tentang kedudukan maahad tahfiz di Selangor dalam masa terdekat.

"Kerajaan negeri akan mendukung semua langkah yang menjamin keselamatan warga maahad tahfiz," katanya ketika ditemui di Majlis Jamuan Rakyat bersama Menteri Besar sempena penyampaian surat kelulusan bagi mendapatkan geran untuk tanah di Kampung Melayu Subang Tambahan, di Masjid Taman Subang Perdana, Subang, hari ini.

"Secara prinsipnya kerajaan mahu keselamatan pelajar dan pendidik di semua sekolah tahfiz diberi keutamaan," katanya lagi.

Azmin berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan Selangor akan mengarahkan semakan dibuat ke atas semua sekolah agama di negeri itu.

Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah menjadi perhatian seluruh negara apabila dilanda kebakaran awal pagi semalam. Insiden menyayatkan hati itu meragut nyawa 21 pelajar dan dua warden.

Antara isu keselamatan yang muncul selepas kebakaran itu adalah berhubung bangunan yang terbakar tidak memiliki sijil kelayakan menduduki bangunan dan bilik pelajar hanya mempunyai satu pintu, menyebabkan ramai pelajar terperangkap dan gagal menyelamatkan diri.

Mengulas lanjut, Azmin berkata kerajaan negeri telah meminta JAIS berbincang dengan semua pengusaha tahfiz di Selangor - antaranya berkenaan keselamatan - sejak tiga tahun lalu tetapi berhadapan kesukaran.

"Malah kerajaan negeri telah meluluskan sejumlah peruntukan bagi menambah baik kemudahan dan prasarana di beberapa maahad tahfiz.

"Namun ada beberapa kekangan khususnya status tanah yang perlu diselesaikan. Ada individu yang mewakafkan tanah tersebut dan ia perlu selaras dengan prosedur kerajaan." katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata pusat tahfiz persendirian di negeri itu perlu memiliki lesen dan permit sah, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang tidak mempunyainya.

Lihat Komen
ADS