Syarikat pengendali Jambatan Pulau Pinang, Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB), masih menunggu keputusan kerajaan berhubung permohonannya untuk menaikkan kadar tol jambatan itu daripada RM7 kepada RM8.50.

Pengarah Eksekutif PBSB Datuk Mohd Nor Idrus berkata permohonan untuk menaikkan kadar tol Jambatan Pulau Pinang itu telah dikemukakannya kepada kerajaan beberapa bulan lalu.

Katanya, menurut perjanjian konsesi, pihaknya boleh menaikkan kadar tol setiap lima tahun sekali tetapi kadar tol Jambatan Pulau Pinang tidak pernah dinaikkan sejak ia beroperasi pada 1985.

"Kami hanya memohon dan keputusan terakhir berada di tangan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran sambutan Bulan Kemerdekaan Jambatan Pulau Pinang oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Abdul Rashid Abdullah di sini.

Mohd Nor berkata permohonan untuk menaikkan kadar tol jambatan sepanjang 13.5 km itu tiada kaitan dengan kenaikan tambang feri daripada RM7 kepada RM7.70 Mei lalu.

Elak beban pengguna

Menurutnya, sebelum ini pemegang konsesi jambatan itu telah membuat permohonan sebanyak dua kali untuk menaikkan kadar tol tetapi kenaikan itu tidak diluluskan oleh kerajaan.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata kerajaan negeri tidak akan menghalang PBSB menaikkan kadar tol itu tetapi kenaikan itu seharusnya tidak terlalu tinggi sehingga membebankan pengguna.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata kenaikan kadar tol di Jambatan Pulau Pinang boleh dilakukan kerana ia sudah termaktub dalam perjanjian awal, namun kenaikan itu perlu mengambil kira kepentingan pengguna.

Mengenai pelebaran jambatan, Mohd Nor berkata pihaknya sedang menunggu keputusan kerajaan untuk memulakan kerja-kerja melebarkan laluan di Jambatan Pulau Pinang yang dijangka bernilai kira-kira RM500 juta.

Katanya kerja itu yang dijangka mengambil masa selama 30 bulan, menggunakan kepakaran tempatan sepenuhnya dan mengikut cadangan, laluan di atas jambatan akan ditambah menjadi enam lorong untuk menampung keperluan 10 tahun akan datang.

Beliau berkata dengan pelebaran lorong itu, Jambatan Pulau Pinang dijangka mampu menampung antara 120,000 dan 140,000 kenderaan sehari berbanding kira-kira 59,000 kenderaan ketika ini.