Mampukah Keng Yaik pertahan rekod tanpa kalah Sabtu ini?
Sejak mengambil alih jawatan Presiden Gerakan pada 17 Ogos 1980, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik sudah tiga kali dicabar dan berjaya mempertahankan jawatan tersebut.
Sejak mengambil alih jawatan Presiden Gerakan pada 17 Ogos 1980, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik sudah tiga kali dicabar dan berjaya mempertahankan jawatan tersebut.
Dalam kesemua cabaran tersebut, pemimpin yang pandai berjenaka itu jauh meninggalkan pesaingnya. Adakah beliau akan mengulangi prestasinya kali ini?.
Apakah Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi itu, akan sekali lagi mengulangi keunggulannya apabila berdepan dengan cabaran keempat dari Timbalannya, Datuk Kerk Choo Ting Sabtu ini?
Keng Yaik ditentang Cheang Chin Chai bagi pihak Datuk Joseph Chong untuk jawatan Presiden pada tahun 1996.
Chong tidak dapat bertanding jawatan tertinggi parti itu setelah dipecat daripada parti sebelum pemilihan Gerakan.
Keng Yaik mengekalkan jawatan itu untuk penggal keenam dengan memperoleh 927 undi, menewaskan Cheang dengan majoriti 857 undi.
Pada tahun 1984, beliau menewaskan Datuk Micheal Chen (kini Tan Sri Micheal Chen) yang ketika itu ahli Gerakan, dengan memperoleh 774 undi berbanding Micheal Chen yang hanya mendapat 56 undi.
Pada 1987, beliau sekali lagi dicabar, kali oleh Datuk Dr Goh Cheng Teik. Keng Yaik mendapat 614 undi, berbanding 247 undi untuk Dr Goh.
Jawapan Sabtu ini
Sabtu ini, seramai 1,800 perwakilan Gerakan akan sekali lagi menentukan sama ada rekod kejayaan Keng Yaik mempertahankan jawatan presiden parti itu akan berterusan atau sebaliknya.
Menurut laporan Bernama, bagaimanaun, para meramalkan Keng Yaik akan memperoleh 70 peratus undi perwakilan. Namun pemilihan Sabtu inilah yang akan dapat menjawab segala persoalan itu.
Penyokong Dr Lim yang dihubungi berkata presiden Gerakan itu sudah menyiapkan diri "berbulan-bulan" untuk pertandingan ini dan Kerk yang tidak mahu ketinggalan, juga sudah menemui para penyokonnya mengenai pemilihan itu dan masa depan politiknya.
Perbuatan "intip-mengintip" juga berlaku dan sehari sebelum penamaan calon pada 20 Ogos, kem Keng Yaik memperoleh salinan manifesto Kerk.
Pasukan Kerk, termasuk penyandang jawatan Naib Presiden Datuk Dr Tan Kee Kwong yang mempertahankan jawatan itu dan Ketua Pergerakan Wanita wilayah Persekutuan Surin Leong yang bertanding jawatan Ketua Wanita, masih menafikan mereka membentuk satu pasukan.
Walaupun sejak beberapa hari lalu, kedua-dua pemimpin (Dr Tan dan Surin) itu menemani sidang media Kerk, namun Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu masih menafikan beliau sudah membentuk satu pasukan.
Keng Yaik juga menafikan wujud pasukannya yang terdiri daripada pengerusi Gerakan Perak Datuk Chang Ko Youn, penyandang Naib Presiden Datuk Dr Vijayaratnam dan Setiausaha Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nam.
Chang, Vijayaratnam dan Teng merupakan pilihan presiden untuk memenuhi tiga jawatan naib presiden.
Ketua Wanita Datuk Rhina Bhar yang tidak mempertahankan jawatannya tetapi bertanding naib presiden, membawa haluan sendiri.
'Sesi temui perwakilan'
Ini menjelaskan mengapa sebaik selepas penamaan, Keng Yaik sudah memulakan kempen "sesi bertemu pewakilan" dengan Gerakan Selangor diikuti Perak pada malam penamaan itu.
Keesokkannya Keng Yaik menemui perwakilan di Johor Baharu dan Labis, diikuti Pulau Pinang dan Kedah. Kesemua pertemuan diadakan secara tertutup.
Kedua-dua pihak kini dalam "era perang", bermula dengan perang mulut dengan serangan-serangan perbadi sesama mereka, sesuatu yang jarang berlaku dalam parti yang mereka dakwa paling telus dan demokratik itu.
Kedua-dua pihak juga menggunakan media secara meluas untuk menghantar mesej kepada satu sama lain serta menafikan dakwaan sesuatu yang jarang berlaku dalam sejarah parti itu sebelum ini.
Pasukan Kerk (foto) memulakan kempen dengan mendakwa Dr Lim menjalankan parti itu seperti syarikat persendirian.
Dr Lim yang enggan mengalah, lalu mengeluarkan slogan "2 atau 9 tahun" terhadap timbalannya. Maksud beliau ialah sama ada perwakilan mahu melihat pemimpin baru dalam tempoh dua tahun atau menunggu sembilan tahun untuk mencapai objektif itu.
Keng Yaik berkata, jika terus berkuasa, beliau berjanji akan mengosongkan kerusinya dalam tempoh dua tahun dan menyerahkan kepada Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.
Menang tanpa bertanding
Ketua Menteri Pulau Pinang itu, telah menang tanpa bertanding jawatan timbalan presiden pada hari penamaan calon minggu lalu.
Bagaimanapun, kata Keng Yaik, jika perwakilan memilih Kerk, mereka perlu menunggu sembilan tahun lagi untuk mendapat presiden baru, memandangkan Kerk mahu menghadkan tempoh jawatan presiden selama tiga penggal atau kurang.
Kerk pula menjawab, beliau tidak berhasrat untuk kekal berkuasa selama tiga penggal tetapi cuma mahu satu setengah tahun untuk melepaskan jawatan itu, jika dipilih menjadi presiden.
Kerk pernah dipanggil oleh Keng Yaik untuk berbincang mengenai isu pengganti parti itu yang telah isu hangat terutamanya di media.
Bagaimanapun, pertemuan itu gagal membuahkan sebarang hasil dan Kerk akan terus dengan keputusannya untuk bertanding jawatan menentang Keng Yaik untuk jawatan presiden.
Penganalisis politik telah lama percaya bahawa Kerk, yang mempunyai hubungan rapat dan baik dengan Tsu Koon sejak mereka sama-sama dalam pergerakan pendidikan Cina pada 1970-an
sebelum menyertai Gerakan, tidak mungkin bertanding sesama sendiri.
Dan ini terbukti apabila Kerk tidak mempertahankan jawatan timbalan presiden menentang karibnya itu, tetapi sebaliknya mengemukakan penamaan calon bagi jawatan nombor satu parti.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.