Samy Vellu pun mahu bersara, tapi tak tahu bila...
Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, yang telah memimpin parti politik terbesar mewakili kaum India di negara ini sejak 1979, bercadang untuk bersara tetapi belum menetapkan bila tarikhnya beliau akan berbuat demikian.
Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, yang telah memimpin parti politik terbesar mewakili kaum India di negara ini sejak 1979, bercadang untuk bersara tetapi belum menetapkan bila tarikhnya beliau akan berbuat demikian.
"Saya bercadang untuk bersara tapi saya belum menetapkan bila tarikhnya ...jika masyarakat India tidak mahukan saya lagi, maka saya bebas untuk pergi," katanya.
Bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat di ibu pejabat parti di sini, Presiden MIC itu bagaimanapun menyatakan bahawa beliau bercadang untuk mempertahankan jawatannya pada pemilihan Presiden MIC yang dijadualkan Mac tahun depan.
Ditanya sama ada beliau sedang mempersiapkan pemimpin tertentu untuk menggantikannya selepas beliau bersara nanti, beliau berkata: "Saya sedang mempersiapkan banyak orang untuk menguruskan parti ini pada masa depan."
"Kita ada (Datuk) Subramaniam (Timbalan Presiden MIC), (Datuk) Palanivel (Naib Presiden MIC) dan (Datuk) Sothinathan (Setiausaha Agung). Pada penggal yang lalu (2003-2006) pilihan terbaik saya (untuk mengambil alih) ialah Subramaniam tapi penggal ini (2006-2009) mungkin orang lain pula. Saya belum terfikir lagi mana-mana calon (untuk mengambil alih). Saya akan memberitahu kamu (pemberita) apabila saya telah membuat keputusan," tambahnya.
Menurut laporan Bernama, Samy Vellu, yang juga Menteri Kerja Raya, berkata para pemimpin yang sedang dipersiapkannya bukan sahaja perlu menjaga parti tetapi juga seluruh masyarakat India di negara ini.
Keutamaan parti
Beliau berkata memberi pelajaran dan membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat India di Malaysia adalah keutamaan bagi parti.
"Kita mesti memajukan masyarakat India agar setanding dengan kaum Bumiputera dan Cina. Kita tidak mahu satu keadaan di mana mereka bergerak 250 kaki ke hadapan dan kaum India bergerak 250 kaki ke belakang.
"Saya akui saya memang gila...saya gila untuk mengangkat martabat kaum saya agar setanding dengan kaum-kaum yang lain di negara ini," tambah beliau.
Beliau berkata untuk mencapai matlamat itu, beliau memerlukan pemimpin-pemimpin yang "boleh berpimpin tangan dengan saya" dan memastikan kejayaan dasar-dasar parti.
Samy Vellu berkata beliau tidak akan mengetepikan mana-mana pemimpin dalam MIC untuk proses pergantian pemimpin itu, "tetapi bila tiba masanya, apabila keadaan tidak lagi baik (buat saya memimpin), maka saya akan membuat keputusan."
Mengenai perkara lain, presiden MIC itu juga berkata parti itu akan memulakan proses pemilihannya bulan Februari tahun depan dengan pemilihan peringkat cawangan diikuti pemilihan peringkat bahagian dalam bulan Mac.
Perhimpunan agung parti, yang akan menyaksikan pemilihan pemimpin tertinggi MIC, kecuali jawatan presiden, akan diadakan sama ada pada 17 dan 18 Jun atau 24 dan 25 Jun, bergantung kepada jadual Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang dijadualkan merasmikan perhimpunan agung itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.