Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tahniah Umno dan Mat Taib, sindir Dr M
Diterbitkan:  Sep 17, 2017 9:22 PM
Dikemaskini: 1:33 PM

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad dengan nada sinis mengucapkan tahniah kepada Umno, atas pulangnya bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib ke pangkuan parti itu.

"Saya amat gembira kerana Tan Sri Mat Taib lompat balik ke bawah tempurung Umno. Dia lompat masuk PAS, kemudian PKR...Sekarang kaki masih kuat, dia lompat masuk bawah tempurung (semula).

"Tahniah saya ucapkan kepada Umno. Ada orang macam Mat Taib menjamin Umno akan kalah dalam pilihan raya," katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Pengumuman kemasukan semula Muhammad, atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Taib, dibuat Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dalam sidang media di ibu pejabat parti itu, dan turut dihadiri pemimpin utama lain.

Ia disindir ramai pihak, termasuk pemimpin HARAPAN, apatah lagi selepas pelbagai spekulasi muncul sepanjang hari berhubung pengumuman yang bakal dibuat Najib.

Dr Mahathir juga hairan mengapa Najib dan timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menganggap perkembangan itu sebagai peristiwa besar.

"Sehingga ada sidang media khusus. Ini menunjukkan memang benar Najib membawa kembali kawan-kawannya (kembali ke Umno). Ini kawan dia (dahulu).

Dr Mahathir turut membangkitkan semula insiden 'beg berisi wang tunai' yang menjadi punca peletakan jawatan Mat Taib sebagai menteri besar Selangor pada 1997.

"Saya masih ingat kes Mat Taib bawa beg penuh duit, kena tangkap di Australia.

Alasan yang dia beri ialah tak faham bahasa Inggeris, sebab itu dia langgar undang-undang...Tetapi saya tahu dia boleh berbahasa Inggeris.

Tidak boleh dipercayai

Beliau merujuk penahanan Mat Taib di lapangan terbang Brisbane kerana membawa wang tunai dalam mata wang Singapura, Malaysia dan New Zealand bernilai AS$1 juta, berdasarkan nilai mata wang ketika itu.

Mat Taib didakwa kerana gagal mematuhi undang-undang Australia yang mewajibkan sesiapa yang membawa wang tunai melebihi A$5,000 untuk mengisytiharkannya kepada pihak imigresen, namun kemudian dibebaskan.

Ketika itu, Mat Taib berkata beliau tidak mahir dalam bahasa Inggeris, maka tidak memahami undang-undang negara itu.

Selepas meletakkan jawatannya, beliau kekal dalam Umno dan dilantik sebagai senator pada 2006 sehingga 2009.

Pada April 2013, Mat Taib keluar Umno dan menyertai PAS. Beliau menyertai PKR dua tahun kemudian.

Mahathir berkata, insiden itu membuktikan Mat Taib bukanlah seorang pemimpin yang boleh dipercayai dan menyingkirnya daripada jawatan yang dipegang ketika itu.

"Kalau dia bawa beg kita kena periksa, ada duit ataupun tidak. Apatah lagi (sekarang) dekat dengan Najib," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS