Pemecatan bekas Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Presiden Umno pada 2 September 1998 tidak kena mengena dengan keputusan mahkamah membebaskan beliau baru-baru ini.

Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Umno mempunyai kuasa untuk memecat Anwar dan ia tidak terikat dengan keputusan mahkamah.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Umno (MT) di Ibu Pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara petang tadi, beliau berkata, keputusan itu tidak boleh diubah lagi.

"Pemecatan sudah berlaku dan ia tidak boleh diubah lagi. Ia keputusan Umno pada ketika itu dan mahkamah membuat keputusannya selepas parti memecat beliau," katanya.

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan seorang ahli MT, Datuk Seri Rais Yatim yang mempersoalkan adakah tindakan Umno memecat Anwar betul.

Rais dalam kenyataannya kepada tabloid Siasah baru-baru ini berkata, Mahkamah Persekutuan telah membersihkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

"Umno kini perlu bersedia dengan keadaan semua tuduhan ke atas Anwar dulu sudah bersih... jadi soalnya, betulkah tindakan Umno memecat Anwar dulu?" soal Rais..

Awal bulan ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan penulis buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi PM Datuk Khalid Jafri membayar RM4.5 juta kerana memfitnah Anwar. Sebelum ini, September lalu, Mahkamah Persekutuan telah membebaskan Anwar daripada tuduhan kesalahan meliwat.

Kes Isa

Abdullah berkata, Mesyuarat Khas MT hari ini membincangkan mengenai usul-usul yang dibincangkan dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Radzi Sheikh Ahmad berkata, MT belum menerima keputusan rayuan enam ahli termasuk Naib Presiden, Tan Sri Mohd Isa Samad dari Panel Rayuan Umno.

Berikutan itu, katanya, MT tidak membincangkan kes tersebut hari ini dan akan dibincangkan dalam mesyuarat MT yang lain.

Abdullah yang juga Perdana Menteri berkata, beliau mahu Presiden Gerakan Datuk Seri Lim Keng Yaik dan pencabarnya Datuk Seri Kerk Choo Ting berhenti daripada perbalahan dan biarlah ahli parti yang menentukan kedudukan mereka.