Waris mangsa kemalangan Link Kedua mohon saksi tampil
Anggota keluarga mangsa kemalangan jalan raya yang meragut nyawa, Chua Wei Kit, 41, menggesa saksi yang menyaksikan kejadian itu suapaya tampil untuk membantu siasatan.
Insiden itu berlaku kira-kira jam 6.20 pagi pada 5 September, ketika Wei Kit (foto) sedang menunggang motosikalnya ke Singapura, di lebuh raya Link Kedua.
Abangnya, Wei Min, berkata sehingga pada minggu lalu, tidak ada saksi yang menghubungi pihak polis dengan sebarang bukti.
"Pegawai penyiasat menasihatkan kami untuk melakukan apa yang terdaya untuk mencari saksi," kata Wei Min kepada Malaysiakini hari ini.
Mereka yang mempunyai maklumat yang relevan diminta menghubungi segera ke Balai Polis Gelang Patah, katanya.
Pada masa ini, pasukan penyiasat tidak dapat mengenal-pasti punca kemalangan itu, kata Wei Min.
"Keluarga kami hanya mengetahui mengenainya apabila pekerja syarikat perkhidmatan pengebumian datang ke rumah kami.
“Pada masa itu, adik kami telahpun dibawa ke bilik mayat Kulai," katanya.
Menurut laporan oleh akhbar Sin Chew Daily, seorang penunggang motosikal wanita juga didapati terbunuh di tempat kejadian.
Wei Min berkata bahawa polis juga tidak dapat mengesahkan apa yang dilaporkan oleh akhbar tersebut.

