Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urusniaga forex Bank Negara bertanya soalan yang tidak relevan kepadanya, sepanjang sesi keterangan pagi ini.

Bekas perdana menteri itu yang merupakan saksi ke-24 RCI juga mendakwa, soalan yang ditanya tidak bertumpu kepada mengenal pasti kerugian yang ditanggung Bank Negara akibat daripada skandal itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta pemberita untuk mengulas tentang soalan yang ditanya RCI, sebaik sahaja selesai memberi keterangan.

Mahathir sekali lagi menegaskan RCI ditubuhkan hanya untuk memberi imej buruk kepada dirinya dan Ketua Umum Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Bahawa wang juga dicuri ketika zaman saya, (dengan jumlah RM30 bilion). Itulah tujuan mereka.

"Tapi mereka belum mencapai tujuan untuk menunjukkan saya sama seperti para kleptokrat yang mentadbir negara hari ini," katanya.

Namun beliau yakin mengendalikan soalan yang ditanya dengan baik, dan Anwar juga telah memberi jawapan berdasarkan maklumat yang diterimanya sebagai menteri kewangan ketika skandal itu.

Bekas menteri kewangan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ketika memberi keterangan 7 September lalu mengesahkan bertanggungjawab atas kegiatan perdagangan forex Bank Negara antara 1986 hingga 1993, ketika menjadi penasihat di sana.

Beliau juga berkata tidak pernah membincangkan soal urusniaga forex dengan Anwar dan Mahathir, yang menjadi perdana menteri ketika itu.

Kata Mahathir lagi, RCI bukan untuk menyiasat kerugian yang ditanggung ketika itu memandangkan Bank Negara telah berjaya pulih daripada skandal tersebut.

"Ia bukan tentang kerugian wang kerana selepas itu, Bank Negara telah pulih sepenuhnya. Bukan sahaja pulih, hari ini Bank Negara miliki aset yang besar - mencecah ratusan bilion dolar.

"Dan ingat, modal yang diperikan kepada Bank Negara ketika permulaannya hanya RM5 juta, kini ia ada lebih RM100 bilion. Jadi adakah anda akan katakan Bank Negara adalah satu kegagalan, dan gagal menjaga wang kita?" soalnya.

Lihat Komen
ADS