Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin PAS: Kejutan Najib cuma perbodohkan rakyat
Diterbitkan:  Sep 19, 2017 10:13 AM
Dikemaskini: 3:35 AM

Teori bahawa sidang media khas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Ahad lalu yang kononnya turut menyaksikan wakil rakyat PKR Selangor melompat parti adalah sesuatu permainan politik Umno yang cukup tidak bijak, kata seorang pemimpin PAS.

"Ramai yang yakin bahawa Najib memang ada sesuatu berita penting yang hendak diumumkan cuma perancangan tersebut tidak menjadi dan terpaksa digugur di saat akhir," kata ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Zainal Abidin Kidam, yang dipetik oleh Harakahdaily.

Najib pada Ahad lalu mengarahkan seluruh pemimpin kanan Umno untuk menyertai beliau dalam satu sidang akhbar khas, di mana beliau mengumumkan bahawa bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhamad Taib kembali ke pangkuan Umno.

Walau bagaimanapun, ramai menganggap ia menjadi semacam anti-klimaks sedangkan disebut-sebut sebagai pengumuman sesuatu yang penting.

Zainal berkata bahawa antara teori yang diutarakan ialah Muhammad bukan saja keluar dari PKR tetapi bekas MB Selangor itu dikatakan mampu untuk membawa bersamanya beberapa ADUN Selangor dari parti PKR memasuki Umno.

"Dengan kemasukan ADUN tersebut, Umno dikatakan mampu membentuk kerajaan di Selangor dengan kerjasama PAS," katanya.

Namun, katanya, teori itu terbukti gagal apabila cuba dikaitkan dengan PAS dalam perancangan rahsia tersebut.

"Ini kerana PAS telah berpuluh kali menegaskan bahawa PAS tidak akan bersama dengan Umno dalam apa jua bentuk kerjasama politik dengan Umno.

"Berhentilah usaha yang sia-sia dan membuang masa untuk terus mengutuk PAS hendak bersama dengan Umno sama ada dari parti pembangkang atau dari parti Umno sendiri,” katanya.

Zainal menambah bahawa tidak ada sesiapa yang boleh mempengaruhi PAS yang komited terhadap perjuangan mereka dan keputusan yang dibuat oleh parti dan majlis syura pada muktamar mereka.

Sebaliknya, beliau berkata pengumuman ‘kejutan’ Najib tentang Muhammad hanyalah satu tindakan untuk mengalih perhatian masyarakat.

Menyifatkannya sebagai "gagal", beliau berkata ia hanya satu perkhabaran yang boleh sahaja diumumkan dalam media sosial.

Lihat Komen
ADS