Pemuda Gerakan mahu kontrak kerajaan dikeluarkan melalui proses tender terbuka, dengan hanya mereka yang memenuhi syarat dan berdaya saing sahaja ditawarkan kontrak.

Ketuanya, Datuk Mah Siew Keong juga berkata kerajaan perlu mengeluarkan senarai tender, kontrak dan keputusan kelulusan sesuatu projek secara terbuka bagi mengelak kesangsian, khabar angin dan ketidakpuasan hati di kalangan rakyat.

"Pemuda Gerakan menggesa kerajaan agar mengambil tindakan tegas ke atas pegawai kerajaan yang menyeleweng atau menyalahgunakan kuasa (dalam meluluskan sesuatu kontrak)," katanya ketika berucap di persidangan ke-18 perwakilan kebangsaan Pemuda di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut laporan Bernama, persidangan sehari Pemuda dan Wanita Gerakan dirasmikan serentak oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Kerk Choo Ting. Tiada pemilihan untuk Pergerakan Pemuda kerana semua jawatan dimenangi tanpa bertanding selepas ada calon yang menarik diri.

Menurut Mah, kejayaan serta kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya tahun lalu jelas menunjukkan rakyat jelata menaruh harapan yang tinggi dan kerajaan BN perlu berusaha memastikan janji-janji pilihanraya ditunaikan.

Ini, katanya, termasuk usaha membasmi rasuah, mengemaskini sistem penyampaian sektor awam, meningkatkan keberkesanan serta daya saing, meningkatkan produktiviti dan meningkatkan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan.

Menyokong sepenuhnya inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu, Pemuda Gerakan menegaskan, mereka yang mempunyai kepentingan diri atau politik, melambatkan usaha serta inisiatif itu.

Tingkat ketelusan

"Pemuda Gerakan menyeru rakyat Malaysia memberikan sokongan kukuh kepada Perdana Menteri untuk meneruskan inisiatif membasmi rasuah serta meningkatkan ketelusan dan keberkesanan pentadbiran kerajaan," katanya.

Mengenai pendidikan, beliau berkata Pemuda Gerakan tidak mahu masalah berkaitan kriteria pemilihan dan pendekatan dalam penawaran biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berulang setiap tahun.

"Pemuda Gerakan menggesa JPA agar mengkaji semula dan merangka satu dasar pemilihan dan penawaran jangka panjang menyeluruh, telus, terbuka dan berlandaskan meritokrasi untuk memastikan masalah ini tidak berulang pada masa depan," katanya.

Sementar aitu, Wanita Gerakan pula mahu kerajaan menimbang serius cadangan menubuhkan Kumpulan Wang Simpanan Wanita bagi mengatasi masalah ibu tunggal yang perlu menyara hidup termasuk anak-anak dalam tanggungannya.

Ketuanya, Datuk Rhina Bhar berkata, walaupun undang-undang sedia ada memastikan suami menyara bekas isteri, ramai di kalangan mereka berhenti kerja atau bertukar kerja semata-mata tidak mahu gaji mereka dipotong untuk membayar nafkah sara hidup bekas isteri dan anak-anaknya.

Wanita Gerakan, katanya, telah mengemukakan cadangan ini pada 1 Mei lalu kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) supaya memberi pilihan kepada suami untuk membuat caruman untuk isteri.

Rhina yang tidak bertanding mempertahankan jawatannya itu kali ini, menegaskan demikan ketika berucap perasmian serentak Pergerakan Wanita dan Pemuda Gerakan hari ini.

Bela ibu tunggal

Rhina akan bertanding jawatan naib-presiden dalam pemilihan pucuk pimpinan Gerakan esok.

"Apa yang kami mahu ialah sebaik sahaja berkahwin, suami wajib membuat caruman untuk isteri dengan peratusan carumannya bergantung kepada pendapatan suami dengan wang simpanan itu," katanya.

Wanita Gerakan juga mahu peraturan yang membenarkan hanya isteri mengeluarkan wang daripada tabung dalam situasi tertentu seperti apabila berlakunya kematian suami, ditinggalkan suami atau semasa berlakunya penceraian, dibenarkan oleh KWSP.

"Suami harus meneruskan pembayaran caruman sehingga perintah sara hidup dikeluarkan dengan mengambil kira akaun tersebut. Caruman akan dihentikan apabila anak terakhir mencapai umur 18 tahun atau suami bersara. Sekiranya perkahwinan tersebut bahagia, setelah bersara wang caruman tadi bolehlah dikeluarkan untuk faedah bersama keluarga," katanya.

Beliau juga berkata Wanita Gerakan mahu kerajaan menambahkan pinjaman PTPTN bagi meluaskan bantuan kewangan untuk pelajar melanjutkan pelajaran.

Rhina berkata dalam masa yang sama, tindakan atau penguatkuasaan yang ketat mesti diambil terhadap mereka yang enggan membayar balik pinjaman walaupun sudah mempunyai pekerjaan yang bergaji tinggi.

Pergerakan wanita turut menggesa sistem pemilihan kemasukan ke institusi pendidikan tinggi awam dilaku secara lebih telus iaitu berdasarkan merit, pretasi akademik serta mengambil kira kedudukan ekonomi dan sosial pelajar, katanya.