Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BAM tidak bercadang isi pengganti Morten Frost
Diterbitkan:  Sep 20, 2017 6:04 AM
Dikemaskini: 10:25 PM

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak bercadang untuk mengisi jawatan pengarah teknikal BAM yang dikosongkan oleh Morten Frost Hansen selepas menerima peletakan jawatan beliau pada hari Isnin.

Presidennya, Datuk Seri Norza Zakaria, yang juga pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) berkata persatuan akan berpegang kepada pelan bahawa semua jurulatih sekarang melapor terus kepada jawatankuasa itu.

Beliau berkata kesemua lima ketua jurulatih - Misbun Sidek (perseorangan lelaki), Cheah Soon Kit (beregu lelaki), Tey Seu Bock (perseorangan wanita) Wong Pei Ty (beregu wanita) dan Chin Eei Hui (beregu campuran) - telah bersetuju dengan struktur baharu itu.

"Pada masa ini, kami tidak mempunyai rancangan untuk mengisi jawatan (pengarah teknikal) dan pengurus kami kami Michelle Chai akan mengambil alih peranan Frost," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Liga Remaja Kebangsaan AirAsia-BAM bagi Pulau Pinang semalam.

Frost, yang menghadapi tekanan berikutan prestasi pemain-pemain negara yang kurang memberangsangkan tahun ini, telah menyerahkan surat peletakan jawatan pada 11 September dengan memberi alasan masalah peribadi dan BAM telah menerima peletakan jawatannya selepas mesyuarat jawatankuasa C&T kelmarin.

Frost menjadi pengarah teknikal BAM pada 23 Februari 2015, selepas menandatangani kontrak dengan Majlis Sukan Negara sehingga 31 Disember, 2020, dan beliau telah menjadi pengarah kejurulatihan BAM dari 1997 hingga 2000.

Dalam perkembangan lain, Norza berkata kurang keserasian adalah punca pasangan begeru negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong dipisahkan.

Beliau berkata selepas perbincangan dengan jurulatih mereka Soon Kit, keputusan untuk berpisah adalah untuk kepentingan kedua-dua pihak dan mereka sekarang akan bergandingan dengan pasangan baharu bagi kejohanan akan datang.

"Kami telah meletakkan V Shem untuk bergandingan dengan Teo Ee Yi sementara Wee Kiong akan berpasangan dengan Ong Yew Sin bagi Terbuka Perancis dan Terbuka Bitburger (di Jerman)," katanya.

Sementara itu, Norza berkata liga remaja kebangsaan yang akan diadakan di setiap negeri dari September hingga November akan memberi peluang untuk mencungkil bakat-bakat baharu di kalangan pelajar sekolah.

Beliau berkata ia akan diadakan mengikut format Piala Thomas dan Uber dan pemenang dari setiap negeri kemudian akan bersaing di peringkat kebangsaan yang dijadualkan pada Januari tahun depan.

"Liga itu akan melibatkan kira-kira 5,000 pelajar dari 1,000 sekolah di seluruh negara dan juara kebangsaan berpeluang diserap ke dalam akademi latihan BAM," katanya.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS