Terjemahan Dalam ucapan terakhirnya merasmikan perhimpunan Pemuda dan Wanita selaku timbalan presiden Gerakan Datuk Kerk Choo Ting, secara terbuka merayu supaya perwakilan mengundinya bagi jawatan presiden, dalam pemilihan parti itu esok.

Sebelum itu, beliau menceritakan mengenai seorang calon presiden Amerika yang berjaya, telah mengucapkan terima kasih kepada jirannya kerana mengundinya, tetapi jirannya memberitahunya yang dia tidak berbuat demikian.

Dan bila presiden itu bertanya mengapa, jirannya menjawab 'anda tidak pernah meminta saya mengundi anda'.

"Oleh itu, saya meminta perwakilan semua mengundi saya esok," kata Kerk disambut dengan tepukan gemuruh para perwakilan.

Mengikut Kerk, kisah itu telah diceritakan kepadanya tiga tahun lalu oleh Timbalan Presiden Gerakan yang baru, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Peralihan kepimpinan

Mengenai peralihan kepimpinan dalam Gerakan, beliau berkata, ia patut dilaksanakan mengikut perlembagaan parti dan tidak berdasarkan kepada 'janji oleh seorang pemimpin;.

Kenyataan itu merujuk kepada janji penyandang jawatan presiden Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik untuk melepaskan jawatannya pada tahun 2007 atau 2008, yang sebelum ini disifatkan oleh Kerk sebagai satu 'tipu muslihat".

Kerk juga memberitahu 1,191 perwakilan itu, dalam kontak pengurusan sesebuah pertubuhan, tiada siapapun yang boleh kekal selama-lamanya.

Hubungan antara kedua-dua pemimpin tertinggi parti itu menjadi tegang selepas Keng Yaik secara terbuka menyokong Tsu Koon sebagai penggantinya.

"Dalam kontak ini, peralihan kepimpinan yang lancar mesti dilaksanakan dan mengikut aturan dan peraturan dalam sesebuah pertubuhan," kata Kerk.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Kerk berkata, beliau merayu supaya perwakilan mengundinya esok supaya tidak dituduh beliau terlalu angkuh untuk meminta sokongan mereka.

Ditanya sama ada peraturan membolehkannya untuk berkempen sewaktu merasmikan perhimpunan tersebut, beliau berkata, perlembagaan parti tidak menghalangnya.

Menurut Kerk, beliau hanya menggunakan beberapa minit dalam ucapannya untuk berkempen.

"Saya perlu lakukannya kerana jika tidak, orang akan menganggap saya sombong dan tidak langsung meminta sokongan," katanya

Politik negatif

Sebelum itu, dalam ucapannya, Kerk menggesa ahli parti supaya mengelak daripada terbabit dalam politik negatif.

Dalam ucapannya, beliau turut merayu supaya perwakilan mengundi satu-satunya calon naib presiden wanita, Datuk Rhina Bhar, ketua pergerakan wanita yang tidak mempertahankan jawatan itu.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Hussein dan timbalannya, Khairy Jamaluddin turut hadir. Pemimpin Barisan Nasional lain yang hadir ialah Ketua Pemuda MCA yang baru, Datuk Liow Tiong Lai, Setiausaha Agung, Dr Wee Ka Siong dan perwakilan dari MIC.