Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Harga petrol patut lebih murah'
Diterbitkan:  Sep 22, 2017 9:18 AM
Dikemaskini: 2:08 AM

Harga minyak yang ditetapkan pada minggu ini sepatutnya lebih rendah, apatah lagi selepas kenaikan selama 10 minggu sejak Julai lalu, kata Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH).

Naib Ketuanya Shazni Munir Muhd Ithnin berkata, penurunan yang diumumkan kerajaan dua hari lalu masih belum memadai untuk menangani kos perbelanjaan harian yang tinggi.

"Khususnya bagi pasangan muda yang sedang membina keluarga.

"Dengan beberapa mekanisme tabungan yang praktikal, harga RON95 sebenarnya boleh turun sekurang-kurangnya sebanyak RM0.31, iaitu ke paras RM1.90 seliter," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bagi minggu ini, harga runcit RON95 ditetapkan RM2.19 seliter (2sen lebih murah) manakala RON97 pada RM2.49 seliter (turun 3sen). Harga diesel pula RM2.10 seliter (turun 4sen).

Beliau juga berkata ragu dengan kaedah penetapan harga mingguan berasaskan mekanisme harga automatik (APM) tidak benar-benar telus.

"Ada yang mengesyaki kerajaan mengaut untung tinggi apabila harga runcit minyak tidak berubah banyak sedangkan ringgit ketika ini mencecah kadar tertinggi dalam tempoh 10 bulan," katanya.

Justeru, beliau meminta kerajaan menyatakan nilai 'alpha' yang digunakan dalam pengiraan harga minyak ketika ini.

'Alpha' adalah nilai perbezaan antara harga Mean of Platts Singapore (MOPS) dengan harga sebenar yang dibeli syarikat minyak. Nilai itu diambil kira dalam formula menentukan harga minyak.

Pada 11 September lalu, Pemuda AMANAH mengadakan protes di beberapa lokasi di seluruh negara bagi membantah kenaikan harga minyak.

"Protes itu pastinya dapat membuatkan orang ramai lebih cakna dan vokal mempersoal inisiatif kerajaan dalam menangani ketidaktentuan harga minyak," katanya lagi.

 

Lihat Komen
ADS