Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kakitangan saya tak bersalah, kata Sivarasa
Diterbitkan:  Sep 22, 2017 11:49 AM
Dikemaskini: 5:31 AM

Anggota Parlimen Subang Sivarasa Rasiah menegaskan tiga kakitangannya yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam sebagai tidak bersalah.

"Saya menolak tuduhan ini terhadap kakitangan saya.

"Saya kenal baik kakitangan saya, terutamanya Naveen yang juga anak saudara saya.

"Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap integriti mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menegaskan bahawa beliau bukanlah subjek kepada siasatan itu.

Tiga kakitangan tersebut iaitu Naveen Kularasa, Joshua Kalaiselvan dan NicoKam dilapor ditahan berkaitan urusan imigresen semalam.

SPRM kini sedang mendapatkan perintah tahanan remanan terhadap tiga kakitangan berkenaan di ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Sivarasa berkata siasatan itu berikutan dakwaan rasuah melibatkan seorang usahawan Bangladesh yang menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan permit pekerja Bangladesh seperti yang dibangkitkan beliau pada sidang akhbar pada 9 Ogos lalu.

Tiga kakitangan berkenaan dituduh meminta rasuah daripada pihak berkaitan untuk menyelesaikan kes itu dengan Jabatan Imigresen, katanya.

"Kakitangan saya tidak mempunyai sebarang kawalan ke atas ketua pengarah".

"Bagi saya, tuduhan ini tidak ada asas sama sekali," katanya kepada pemberita di luar ibu pejabat daerah Dang Wangi hari ini.

Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman membenarkan reman selama empat hari terhadap ketiga-tiga lelaki tersebut, bermula hari ini dan berakhir pada 25 September.

Ketiga-tiga mereka sedang disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM, kata peguam mereka Paul Paulsen.

Seorang lagi kakitangan Sivarasa, Mohamad Tahir Faizal turut ditahan dan dilihat diiringi ke balai polis hari ini bersama-sama tiga lagi kakitangan ahli parlimen itu.

Tahir adalah individu yang membawa isu dakwaan rasuah melibatkan warga Bangladesh berkenaan kepada pengetahuan Sivarasa..

"Saya percaya mereka (kakitangan saya) telah diperangkap dan dirancang oleh orang-orang ini yang terlibat dalam isu yang saya bangkitkan dalam sidang media," katanya.

Walaupun Sivarasa kecewa dengan penahanan itu, beliau berkata akan bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Beliau juga berharap siasatan akan dijalankan secepatkan mungkin.

Lihat Komen
ADS