Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Pahang Datuk Sulaiman Ahmad, berkata pembangunan dan pengurusan pusat-pusat tahfiz di negara ini perlu diperkemas dan dimantapkan agar keyakinan masyarakat terhadap insitusi pendidikan pondok itu terus kukuh.

Sulaiman, 67 yang juga bekas Mufti Pahang berkata agak menyedihkan apabila berlaku tragedi seperti di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah , di Kuala Lumpur pada 14 Sept lalu yang telah menyebabkan masyarakat mempersoalkan isu keselamatan pelajar yang mengikuti pendidikan di insitusi seumpama itu.

"Apabila wujudnya banyak pusat tahfiz, ia memberi satu petunjuk yang baik terhadap kesedaran masyarakat terhadap pendidikan agama selain pendidikan sekular, namun biarlah ia berada dalam keadaan yang mantap baik dari segi pengurusan dan pembelajaran itu.

Lakukannya dengan betul-betul agar ia boleh bantu masyarakat dengan cara yang baik," katanya kepada pemberita selepas dinobatkan sebagai penerima anugerah itu yang disampaikan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran RTM Pahang di Kuantan hari ini.

Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 serta plak atas pengiktirafan berkenaan.

Dalam pada itu, anak jati Pahang kelahiran Temerloh itu mengakui anugerah itu adalah pengiktirafan tertinggi yang diperolehnya dan ia menguatkan lagi semangat beliau untuk berbakti kepada masyarakat.

Bapa kepada 11 anak berusia dari 17 hingga 42 tahun itu kini masih menabur bakti di Maahad Tarbiah Islamiah, Mentakab sebagai pengetua dan tenaga pengajar sejak lapan tahun lepas.

 

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS