'Mengapa PM tak hadiri sidang PBB?'
Ruang untuk Datuk Seri Najib Razak menghadiri sesuatu majlis di peringkat antarabangsa menjadi perhatian Anggota Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, ekoran skandal 1MDB yang dikaitkan dengan perdana menteri itu.
"Ekoran skandal 1MDB, Najib kelihatan amat menjauhi media dan perhatian antarabangsa.
"Beliau tidak dapat tampil di peringkat antarabangsa dengan bangga dan bermaruah lagi.
"Kegagalan Najib berfungsi di peringkat antarabangsa tanpa dikaitkan dengan skandal 1MDB menghalang potensi kepimpinan serantau Malaysia ketika ia sangat diperlukan," kata ahli parlimen DAP itu dalam satu kenyataan.
Liew membuat kenyataan itu selepas perdana menteri tidak menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk tahun kedua berturut-turut.
Dalam perhimpunan tahun ini Malaysia diwakili Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman. Tahun lalu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertindak sebagai wakil Malaysia di perhimpunan sama.
Pertengahan bulan ini Najib melawat AS dan bertemu Presiden Donald Trump di Rumah Putih, Washington, pada 13 Sept.
Namun tiada sidang media diadakan ekoran pertemuan yang berlangsung ketika Najib dijangka akan disoal bertubi-tubi oleh media AS mengenai isu 1MDB.
Tak panjangkan tempoh
Pihak berkuasa AS memulakan tindakan sivil bagi merampas pelbagai aset yang didakwa mereka diperoleh secara haram menggunakan wang 1MDB.
Kata Liew "sangat misteri" apabila Najib tidak menghadiri sidang PBB itu di New York ketika beliau memang sudah berada di AS.
Katanya ketika Asia Tenggara berdepan dengan pelbagai isu termasuk krisis Rohingya di Myanmar serta sikap degil Korea Utara Najib sepatutnya meluangkan masa menjelaskan pendirian Malaysia mengenai perkembangan berkenaan di PBB.
Liew menambah Malaysia ialah sebuah "kuasa tengah" yang berpengaruh di pentas dunia walaupun saiz populasi atau ekonominya tidak besar.
"Tetapi di bawah Najib dasar luar - sama seperti dasar domestik - menjadi sangat transaksional dan boleh disimpulkan dengan pepatah cash is king," katanya.
Perhimpunan Agung PBB berlangsung dari 19 hingga 25 Sept di New York City.
Najib tidak memanjangkan tempohnya berada di AS selepas bertemu Trump, malah pulang selepas berhenti seketika di United Kingdom untuk bertemu Perdana Menteri Theresa May pada 14 Sept.
Beliau mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 15 Sept dengan disambut ramai penyokong kerajaan.
Dalam kenyataanya selepas itu Najib menjelaskan lawatan beliau ke AS sebagai amat berjaya.
Katanya, beliau tidak pergi ke negara kuasa besar itu untuk meminta bersedekah atau melulut, tetapi menyatakan Malaysia telah sampai ke tahap pelaku global.
"Saya beri gambaran bagaimana Trump menerima kedatangan saya.
“Selepas pertemuan di bilik kabinet, pegawai protokol meminta Trump berjabat tangan dengan saya di luar pejabatnya.
"Trump kata 'Tidak, saya mahu mengiringi beliau ke kereta dan pegawai protokol berkata kereta saya di bawah tanah, dan Trump berkata 'tidak mengapa, beliau kawan saya," katannya.

