Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Majlis Presiden bincang permohonan NewGen sertai HARAPAN

Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) dijangka membincangkan hasrat Parti NewGen untuk menjenamakan semula parti itu dan menyertai gabungan pembangkang apabila mereka bermesyuarat pada 2 Oktober depan, kata Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau mengesahkan bahawa dirinya ada berhubungan dengan kepimpinan parti NewGen dan perkara itu akan dirujuk kepada majlis presiden. Sebaik sahaja keputusan dibuat, maka HARAPAN akan memberi jawapannya.

Sebagai prinsip, Saifuddin berkata, HARAPAN mengalu-alukan rundingan daripada semua parti pembangkang "tulen" yang ingin menyertai gabungan itu.

Walau bagaimanapun, gabungan berkenaan perlu mempertimbangkan hakikat bahawa pendaftaran HARAPAN sendiri dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) masih belum selesai.

"Kami telah mengemukakan pendaftaran (kepada ROS) dengan empat parti. Walaupun pada peringkat majlis presiden, kami sangat berhati-hati dalam membuat keputusan kami seperti menambah pemegang jawatan baru dan perkara-perkara seperti itu.

"Itulah sebabnya kami sedikit berhati-hati kali ini dalam menerima ahli baru kerana permohonan kami dengan ROS untuk pendaftaran masih belum selesai," kata Saifuddin kepada Malaysiakini ketika ditemui di Kuala Lumpur malam semalam.

NewGen pada 23 September lalu mengumumkan bahawa mereka akan menukar nama menjadi Parti Tindakan Hak Minoriti (Mira) dan akan memohon untuk menyertai HARAPAN.

Pengerusinya Rajaretinam Armuggan berkata NewGen akan memohon kepada ROS untuk menukar nama pada minggu ini, dan secara rasmi akan memohon kepada HARAPAN untuk menyertai gabungan itu pada Khamis depan.

Satu lagi kumpulan yang menyatakan hasrat untuk menyertai HARAPAN adalah Persatuan Hindraf Malaysia (PHM), yang merupakan sebuah NGO yang ingin bertukar menjadi parti politik.

Ditanya sama ada hasrat PHM itu juga akan dibincangkan pada mesyuarat minggu depan, Saifuddin menjawab, "Mungkin."

 

Lihat Komen
ADS