Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Susulan kebakaran Darul Quran Ittifaqiyah yang meragut 23 nyawa di Keramat dua minggu lalu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dituntut memberi penjelasan bagaimana pusat tahfiz berkenaan boleh beroperasi di bangunan mereka.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Hasanuddin Mohd Yunus berkata isu keselamatan di sesuatu premis yang dikelolakan agensi kerajaan seharusnya sentiasa menjadi keutamaan.

“Seawal hari pertama lagi, kami di AMANAH telah berada di lokasi ini, kami buat kenyataan bahawa semua kegiatan agama mesti berada di bawah majlis agama Islam.

"Aktiviti membuat sekolah maahad ini di bawah pemantauan mereka. Kalau berdaftar, kena ikut peraturan pihak brkuasa tTempatan (PBT) dan bomba.

“Kalau tak berdaftar pula kena pastikan sentiasa di bawah pemantauan (pihak yang berkenaan),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah penjaga mangsa kebakaran itu di Taman Kosas Ampang.

Sebelum ini portal The Malaysian Insight melaporkan pengetua pusat tahfiz berkenaan Muhammad Zahid Mahmod (gambar) enggan mengulas lanjut lagi mengenai kejadian tersebut sebaliknya meminta media bertanya kepada MAIWP.

"Ketua polis negara tidak beri saya buat kenyataan. Cuba tanya MAIWP," beliau dilaporkan sebagai berkata selepas ditanya mengenai pemilik sebenar bangunan tiga tingkat di Datuk Keramat itu.

Akhbar New Straits Times pula melaporkan timbalan pengetua tahfiz itu Roslan Awang Ali mendakwa bangunan berkenaan di bawah kuasa MAIWP selepas diserahkan pemilik asalnya sebagai wakaf.

Mesti jadi pengajaran

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Paimuzi Yahya, turut enggan memberikan sebarang komen kerana katanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah berbuat demikian.

Sementara itu, peguam yang juga anggota DAP Zulhazmi Shariff turut membidas sikap berdiam diri MAIWP.

“Bangunan itu adalah bangunan MAIWP. Sepatutnya sebagai satu agensi kerajaan mereka patut tahu benar aspek keselamatan dan struktur bangunan.

"Bagaimana pihak berkuasa seperti MAIWP boleh buat bangunan tanpa ciri keselamatan, dan bagaimana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh luluskan pembinaan dan tak buat sebarang pemeriksaan bangunan?

“Sehingga hari ini kita tak dapat penjelasan daripada MAIWP. Kita faham dengan (kenyataan) pengetua, tapi MAIWP adalah pemilik bangunan dan mereka kena beri penjelasan,” katanya.

Turut menyertai lawatan berkenaan ialah Anggota Parlimen Segambut Lim Lip Eng dan bekas exco Selangor Ronnie Liu.

Sementara itu, ibu mangsa kebakaran itu, Mashawani Mohamed Shahid (gambar) berharap tragedi malang pada 14 September itu dijadikan iktibar kepada semua pihak.

Mashawani yang kehilangan tiga anak sekali gus itu berkata dia memang tidak menyimpan sebarang dendam, malah reda dengan ketentuan Ilahi.

Namun ibu tunggal berusia 37 tahun itu mahu pihak yang bertanggungjawab dikenakan hukuman setimpal.

"Anak-anak saya pun dah tak ada. Kita tak dapat kembalikan mereka yang sudah pergi terlebih dulu.

"(Takdir) untuk mereka saya terima, cuma saya mengharapkan agar diberi hukuman yang setimpal kepada pihak yang berkenaan.

"Semua kejadian ini perlu dijadikan iktibar," katanya.

Tiga anak Mashawani yang terkorban dalam kejadian awal pagi itu ialah Muhammad Syafiq Haikal Sulaiman yang berusia 13 tahun serta dua adiknya, Muhammad Hafiz Iskandar Sulaiman (11) dan Muhammad Harris Ikhwan Sulaiman (10).

Polis dan bomba mengesahkan kejadian itu bukan kemalangan sebaliknya perbuatan khianat.

Tujuh suspek berusia 11 hingga 18 tahun sedang ditahan reman sehingga 29 Sept ini sebelum tindakan lanjut diambil ke atas mereka.

Polis Kuala Lumpur sebelum ini juga mengesahkan kes itu sudah diselesaikan dengan tertangkapnya ketujuh-tujuh suspek terbabit.

Lihat Komen
ADS