Naib presiden: dua muka baru terpilih, Kee Kwong tewas?
Dr S Vijayaratnam, Dr Teng Hock Nan dan Chang Ko Yuan dikatakan telah memenangi tiga jawatan naib presiden dalam pemilihan pucuk pimpinan Gerakan hari ini.
Dr S Vijayaratnam, Dr Teng Hock Nan dan Chang Ko Yuan dikatakan telah memenangi tiga jawatan naib presiden dalam pemilihan pucuk pimpinan Gerakan hari ini.
Pengumuman rasmi mengenainya dijangka dibuat kemudian.
Ketika ditemui di luar pusat pengiraan undi, penyandang jawatan naib presiden, Dr Tan Kee Kwong memberitahu malaysiakini bahawa beliau kecewa kerana gagal mengekalkan jawatannya.
"Saya kecewa, tetapi saya tidak putus asa dan saya akan kekal dalan parti. Ramai perwakilan gembira kerana saya telah bercakap (bagi pihak mereka)," kata Dr Tan. Bekas Ketua Wanita Gerakan, Datuk Rhina Bhar, juga gagal dalam percubaannya merebut jawatan naib presiden.
Calon-calon lain yang turut bertanding jawatan naib presdien tidak dapat ditemui untuk mendapatkan komen mereka kerana mereka sedang berada di atas pentas untuk mengikuti perbahasan mengenai resolusi parti itu.
Kerk tidak kelihatan?
Dengan hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi untuk mengetahui keputusan rasmi pertandingan bagi jawatan presiden, khabar angin bertiup kencang bahawa Datuk Kerk Choo Ting, yang mencabar Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik bagi jawatan tersebut, tiada hadir ketika resolusi itu dibahaskan.
Kerk tidak kelihatan dalam dewan untuk mengikuti perbahasan sejak ia bermula jam 2 petang, selepas perhimpunan itu ditangguhkan untuk rehat makan tengah hari.
Sebagai timbalan presiden, Kerk sepatutnya bersama rakan-rakannya mengikuti perbahasan para perwakilan.
Sumber-sumber berkata, Kerk tidak meninggalkan bangunan ibu pejabat Gerakan, tetapi sebaliknya 'sedang berihat' di lokasi yang tidak diketahui.
Adalah difahamkan pengundian untuk jawatan presiden kini sedang berlangsung.

