Presiden Gerakan Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik menafikan laporan muka depan sebuah akhbar Cina yang mengatakan parti itu telah mencadangkan formula "6-1-2" untuk pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kerana parti itu belum membuat sebarang keputusan mengenainya.

"Saya tahu (timbalan presiden) Datuk Seri Kerk Choo Ting telah mencadangkan formula 6-1-2 itu tetapi ia terlalu mudah dan perlu diperhalusi lagi sebelum jawatankuasa pusat (CC) dapat memberikan keputusan," katanya.

Formula 6-1-2 itu mencadangkan pecahan tempoh waktu dalam jadual pelajaran di sekolah rendah: enam waktu untuk semua mata pelajaran Bahasa Inggeris, satu waktu untuk mata pelajaran Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris dan dua waktu untuk mata pelajaran Sains dalam bahasa Inggeris.

"Saya masih boleh mewakili parti lagi dan mengatakan bahawa parti belum lagi menerima sebarang formula dan akan berbincang dengan pertubuhan-pertubuhan lain dan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) tentang perkara itu. Kami belum menetapkan pendirian berhubung perkara itu," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Perhimpunan Agung Gerakan 2005 di sini.

Perhimpunan agung itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di ibu pejabat parti Gerakan di Kuala Lumpur.

Menurut laporan Bernama, Lim mengulangi bahawa formula 6-1-2 itu hanyalah cadangan Kerk semata-mata kerana parti itu, terutama jawatankuasa pusatnya, belum membuat sebarang keputusan mengenainya.

Lim: Cadangan Kerk

Kerk, yang mengetuai Biro Pelajaran Gerakan, telah menjelaskan bahawa hanya satu waktu diperuntukkan untuk mata pelajaran Matematik dan dua untuk Sains yang diajar dalam bahasa Inggeris memandangkan mata pelajaran Sains mempunyai banyak istilah khusus yang perlu dipelajari.

Masyarakat Cina, terutama pertubuhan pendidikan Cina Dong Jiao Zong, dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan formula 6-1-2 itu dan meminta Gerakan memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Ini membuatkan Lim terpaksa memberi penjelasan hari ini bahawa cadangan itu sebenarnya dibuat oleh Kerk Mac lalu tetapi sehingga kini, Gerakan belum membuat sebarang keputusan mengenainya. "Ia keputusan Kerk, bukan keputusan saya atau keputusan parti," katanya.

Kerajaan sebaliknya mengguna pakai formula "2-4-3" iaitu dua waktu untuk Bahasa Inggeris, empat waktu untuk mengajar Matematik dalam bahasa Inggeris dan tiga waktu untuk Sains dalam bahasa Inggeris pada tahun 2003 untuk dilaksanakan di semua sekolah rendah.

Lim berharap pihak media, terutama akhbar-akhbar berbahasa Cina, tidak lagi menggembar-gemburkan isu tersebut selepas penjelasan ini kerana ia telah menimbulkan kemarahan masyarakat Cina.