Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'M'sia pertingkat kerjasama dengan China, Interpol'

Malaysia akan meningkatkan lagi jalinan hubungan dengan China dan negara anggota Interpol bagi mendapatkan kerjasama yang kukuh dan berkongsi pengalaman dalam membanteras jenayah rentas sempadan, keganasan dan jenayah siber dalam usaha untuk menjadikan dunia lebih selamat.

Ini merupakan tujuan utama lawatan kerja tiga hari timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke China dan akan menghadiri majlis perasmian Perhimpunan Agung ke-86 Interpol, kata Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Zainuddin Yahya.

Zainuddin berkata ini adalah lawatan ketiga Ahmad Zahid ke negara ini sebagai timbalan perdana menteri dan lawatannya ini adalah atas jemputan Menteri Keselamatan Awam China Guo Sheng Kun.

“Lawatan beliau sebelum ini adalah pada Februari 2016 dan Januari 2017,” katanya kepada media Malaysia di Beijing, China hari ini.

Beliau berkata Ahmad Zahid, yang juga menteri dalam negeri dijangka tiba di Beijing pada 7.50 malam ini bersama isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis.

Zainuddin juga menyentuh tumpuan Malaysia kepada usaha menyediakan platform komunikasi yang berkesan di kalangan semua negara anggota Interpol dalam perkongsian maklumat serta mempertingkatkan keupayaan untuk memerangi neyaha antarabangsa dalam semua bentuk.

Beliau berkata dengan lawatan Ahmad Zahid ini ia adalah manifestasi kepada kepentingan Interpol serta komitmen negara dalam memerangi jenayah antarabangsa, termasuk ancaman keganasan, jenayah siber, jenayah terancang dan gerakan ekstremis dan pergerakan pengganas radikal.

Turut sama dalam lawatan itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Mustafa Ibrahim, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan para pegawai yang lain.

Ahmad Zahid dijadual menghadiri majlis perasmian Perhimpunan Agung INTERPOL pada Selasa yang akan disempurnakan Presiden Republik Rakyat China Xi Jinping.

Timbalan Perdana Menteri kemudiannya akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri China Li Keqiang.

Ahmad Zahid juga akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Guo dan Menteri Hal Ehwal Undang-Undang China, Meng Jianzhu.

Zainuddin berkata Ahmad Zahid juga akan menghadiri jamuan makan malam Interpol dan akan pulang ke tanah air pada pagi Rabu.

Perhimpunan Agung Interpol itu dihadiri perwakilan peringkat tinggi dari 157 negara anggota.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS