Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bagi menekankan kepentingan Agenda Pemerkasaan Bumiputera (BEA) bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyamakannya dengan subjek bahasa Melayu, iaitu subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Najib berkata, semua indeks prestasi utama (KPI) yang lain tidak bermakna jika GLC gagal mencapai KPI bagi agenda tersebut.

"Setiap GLC mesti melaksanakan agenda bumiputera masing-masing ibarat kertas (peperiksaan) bahasa kebangsaan. Boleh lulus semua subjek lain, (jika) tidak lulus yang ini, gagal SPM.

"Maknanya KPI lain tertakluk kepada KPI agenda pemerkasaan bumiputera. Ini kertas wajib, mesti ditunaikan oleh GLC," katanya ketika berucap pada majlis penghargaan Agenda Pemerkasaan Bumiputera G20 di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini.

Najib berkata, ia merupakan komitmen kerajaan dalam memperjuangkan agenda bumiputera.

"Jelas cuma ada satu pihak sahaja yang ada komitmen untuk agenda pemerkasaan bumiputera. Jadi faham-fahamlah," katanya lagi.

Sementara itu, Bernama melaporkan Program Pembangunan Vendor (PPV) di bawah Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera berjaya menjana nilai vendor sebanyak RM114 bilion sejak dilancarkan pada September 2013 sehingga Ogos 2017.

Najib berkata, selain membangunkan vendor bumiputera, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut membantu pengembangan vendor bumiputera sehingga menjadi jaguh nasional dan serantau.

Sehingga Disember 2016, 10 GLC daripada 20 GLC utama telah melaksanakan PPV dengan membabitkan 1,375 vendor yang kini sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam mengukuhkan rangka kerja PPV untuk menghasilkan jaguh kebangsaan, serantau dan dunia.

“Pada tahun lepas, syarikat GLC berjaya menghasilkan lapan vendor yang diiktiraf sebagai juara nasional dan satu vendor yang diiktiraf sebagai juara serantau," katanya.

Turut hadir ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri alleh Said Keruak, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Tan Sri Azman Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif Telekom Malaysia Bhd Datuk Seri Shazally Ramly.

Najib berkata GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) diharap akan terus berperanan dalam memastikan kejayaan Agenda Pemerkasaan Bumiputera.

Selain membangunkan vendor bumiputera, Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera turut merangkumi dimensi lebih luas, merangkumi aspek kemampanan syarikat bumiputera dalam menghadapi persaingan yang semakin mencabar ketika ini, termasuk dalam ekonomi digital.

“Pihak kerajaan juga akan terus memperjuangkan kepentingan orang Melayu serta bumiputera Islam dan bukan Islam, bahkan kekal memartabatkannya sebagai Agenda Nasional agar masyarakat bumiputera dapat merasai setiap nikmat kemajuan negara,” katanya.

Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera adalah usaha kerajaan bagi membolehkan kekayaan negara diagih dan dinikmati secara seimbang oleh semua kaum dan merapatkan jurang pendapatan yang berbeza-beza mengikut kaum di negara ini.

Ia memberi fokus kepada lima perkara iaitu mendaya modal insan bumiputera, memantapkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat, memperkukuhkan pemilikan aset bukan kewangan bumiputera, memperhebatkan keusahawanan dan perniagaan bumiputera serta memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan.


 

Lihat Komen
ADS