Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mangsa buaya ganas di Sg Kuala Besar, S'wak belum dijumpai

Kira-kira 100 penduduk kampung menggunakan lebih 20 buah bot turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dipercayai disambar dan dibaham seekor buaya di Sungai Kuala Besar, Kampung Hulu Tambak, Pusa, Sarawak, petang semalam.

Mangsa, Bentayan Ilah, 31, dikatakan telah dibaham reptilia ganas itu dalam kejadian petang semalam ketika dia keluar menangkap ikan bersama sepupunya.

Jurucakap bilik gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat di Kuching berkata pihaknya menerima laporan tentang kejadian itu dari Balai Polis Pusa pada 5.30 petang semalam.

Katanya, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dengan kekuatan lapan anggota menggunakan dua bot diketuai Pegawai Bomba Kanan Henry Anak Jugah dikerahkan ke tempat kejadian yang terletak kira-kira 53 km dari BBP Betong.

Jurucakap itu berkata maklumat yang diterima daripada komander operasi menyatakan operasi mencari dan penyelamat masih diteruskan menggunakan teknik pencarian di permukaan air pada radius pencarian 20 km, tetapi sehingga kini mangsa masih belum dijumpai.

Turut terlibat dalam operasi hari ini ialah pasukan polis yang menggunakan sebuah bot.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS