Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan kaji jajaran baru RTS seperi cadangan Sultan Johor
Diterbitkan:  Sep 25, 2017 7:10 PM
Dikemaskini: Sep 26, 2017 1:45 AM

Kerajaan akan mengkaji kemungkinan reka bentuk baru jambatan bagi projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang turut mengambil kira cadangan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata penjajaran semula reka bentuk jambatan yang akan menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru dengan Woodlands, Singapura, dilakukan selepas beliau menghadap baginda, minggu lalu.

"Saya menghadap Sultan Ibrahim minggu lalu dan memberi penjelasan sebenar memandangkan beberapa persepsi baginda berhubung RTS Link diperoleh daripada pihak ketiga.

"Pada masa sama, kami mengambil beberapa pandangan baginda, khususnya berhubung penjajaran reka bentuk jambatan.

“Secara umumnya, baginda setuju projek ini bernilai pada kedua-dua negara dan ia harus dilaksanakan secepat mungkin,” kata kata Abdul Rahman pada sidang media Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan SMRT Corporation Ltd (SMRT) di Kuala Lumpur , hari ini.

Menurutnya, beliau juga menyatakan komitmen untuk memberi maklum balas dari masa ke masa secara terus kepada Sultan Johor.

Projek RTS akan bersambung dengan sistem MRT Singapura ke Johor Bahru. Sistem ini dijangka beroperasi pada tahun 2024.

Pada bulan Ogos, Sultan Ibrahim memberitahu New Straits Times bahawa Sultan Ibrahim bertitah baginda tidak bersetuju dengan cadangan reka bentuk trek rel yang melengkung, selain jambatan yang mungkin mencapai ketinggian 30 meter di bahagian tengah.

Abdul Rahman berkata kerajaan memerlukan tempoh sebulan untuk mengkaji penjajaran alternatif seperti yang dicadangkan baginda.

"Kami akan membentangkannya kepada rakan sejawatan kami di Singapura dan kemudian akan menyelesaikannya jika terdapat perbezaan pendapat," katanya.

Mengenai kos pembinaan RTS Link yang diketuai Malaysia, Abdul Rahman berkata, pihaknya masih belum dapat memuktamadnya kerana ini bergantung pada reka bentuk baru yang akan diputuskan nanti. Sebelum ini, projek itu dianggarkan bernilai RM11 bilion.

Ditanya sama ada kos itu akan ditanggung secara 50:50, dengan Singapura, Abdul Rahman berkata kedua-dua negara setuju dan memahami bahawa satu pihak perlu menanggung lebih berbanding pihak lain, namun ia masih pada peringkat perbincangan.

Abdul Rahman berkata, selepas kedua-dua negara menandatangani perjanjian, tender terbuka akan dilaksanakan, sebelum pembinaan dijangka bermula pada 2019 dan selesai pada 2024.

Pada Januari 2017, naib presiden PKR Rafizi Ramli menimbulkan kebimbangan mengenai kedudukan kewangan Prasarana selepas hutangnya mencecah RM18 bilion, sehingga 2015.

Malaysia dan Singapura dijangka memeterai perjanjian dua hala itu pada Disember ini.

Pembinaan RTS dicadangkan pada Mei 2010 sebagai pilihan kepada 80,000 hingga 100,000 pengguna yang menggunakan Tambak Johor setiap hari. Apabila siap nanti, RTS mampu menampung pergerakan 10,000 pengguna setiap jam.

RTS Link juga akan bersambung dengan sistem aliran massa (MRT) Singapura laluan Thomson-Pantai Timur (TEL) yang akan dibina. Projek TEL dengan 31 stesen itu akan dibuka dalam beberapa fasa antara 2019 hingga 2024.

Lihat Komen
ADS