Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP persoal sikap diam diri Wan Junaidi selama 20 tahun
Diterbitkan:  Sep 25, 2017 7:34 PM
Dikemaskini: 11:49 AM

Pengakuan menteri kabinet Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bahawa beliau berdiam diri selama dua dekad terhadap sikap berat hati Putrajaya untuk membantu Sarawak merupakan cerminan kegagalan Barisan Nasional, kata pemimpin DAP Sarawak hari ini.

Dr Kelvin Yii seorang pembantu kepada pemimpin DAP negeri Sarawak Chong Chieng Jen berkata Wan Junaidi telah tanpa sengaja mengakui bahawa parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak (PBB) dan BN Sarawak tidak dapat melindungi kepentingan Sarawak dan beliau hanya dimotivasikan oleh kepentingan diri.

"Kenapa hanya sekarang apabila (Tun) Dr Mahathir Mohammad dan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim menjadi sebahagian pembangkang barulah mereka mula menyalahkan pemimpin ini terhadap keadaan kekurangan dalam negeri kita.

"Wan Junaidi sendiri diundi ke dalam parlimen semasa pentadbiran Mahathir tetapi memilih untuk senyap apabila beliau mendakwa Mahathir tidak berbuat apa-apa untuk negeri itu," kata Yii dalam kenyataan hari ini.

Awal hari ini, Wan Junaidi menolak cadangan bahawa kehadiran khalayak yang ramai dalam majlis himpunan Pakatan Harapan (HARAPAN) malam tadi dapat memberi kesan terhadap politik rakyat Sarawak.

Beliau juga mendakwa hadirin hanya ingin tahu berkenaan apa yang disampaikan oleh Dr Mahathir dan bekas perdana menteri itu tidak pernah berbuat apa-apa untuk negeri Sarawak.

BN punca keadaan lebih teruk

Wan Junaidi yang juga ahli majlis tertinggi parti PBB mendakwa Anwar gagal mengotakan janji beliau untuk membina 31 buah sekolah di Sarawak sewaktu beliau menjadi sebahagian daripada pentadbiran Mahathir.

Yii berkata walaupun beliau tidak bertujuan mempertahankan masa lalu Dr Mahathir, namun kenyataan Wan Junaidi itu membuktikan BN telah membenarkan hak-hak Sarawak terhakis.

Antara isu-isu utama adalah penyerahan hasil minyak kepada kerajaan persekutuan, pindaan perlembagaan pada 1976 yang menurunkan taraf Sarawak dalam hubungannya dengan Malaya serta pelaksanaan Akta Laut Wilayah 2012 yang menghadkan bidang kuasa Sabah dan Sarawak ke jarak tiga batu nautika dari pesisir pantai.

"Menarik untuk dimaklumi bahawa Dr Mahathir tidak menjadi perdana menteri semasa hal-hal penting ini terjadi yang merampas hak-hak kita.

"Pakatan Harapan telah berikrar untuk menghormati hak-hak yang sepatutnya dimiliki negeri itu dan menjanjikan urus tadbir yang adil untuk keseluruhan persekutuan.

"Amat penting bagi kita bekerja ke arah masa hadapan yang lebih baik dan adil untuk negara dan anak-anak kita," kata Yii.

Lihat Komen
ADS