Keng Yaik: Tolak amalan politik wang dan surat layang dalam Gerakan
Terjemahan Perbuatan politik wang dan penyebaran surat layang tidak seharusnya dibiarkan menjadi sebahagian daripada budaya dalam Gerakan dan pemimpin parti itu mesti berusaha sedaya upaya untuk membanterasnya, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik.
Terjemahan Perbuatan politik wang dan penyebaran surat layang tidak seharusnya dibiarkan menjadi sebahagian daripada budaya dalam Gerakan dan pemimpin parti itu mesti berusaha sedaya upaya untuk membanterasnya, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik.
Sehubungan itu, beliau mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas untuk menyiasat dakwaan berlaku perbuatan politik wang dan penyebaran surat layang dalam kempen pemilihan kali ini.
Ketika menyampaikan ucapan dasar presiden di perhimpunan parti itu hari ini, beliau berkata, jawatankuasa itu akan diketuai oleh pemimpin veteran parti itu, Chan Choong Tak, yang diberi kuasa eksekutif untuk bertindak terhadap mana-mana ahli yang didapati terbabit dalam perbuatan tersebut.
Beliau juga mendedahkan, beliau telah menerima aduan mengenai pemimpin-pemimpin Gerakan negeri yang terbabit dalam politik wang sewaktu pemilihan peringkat negeri diadakan.
Presiden Gerakan itu menyifatkan mereka yang mengamalkan sebagai tamak dan parti mengecam perbuatan seperti itu.
Keng Yaik memberitahu sidang akhbar kemudiannya bahawa perbuatan politik wang itu masih belum dibuktikan dan 'belum sampai ke tahap membimbangkan'.
Tampil beri bukti
Beliau juga menggesa mereka yang mempunyai bukti mengenai amalan tidak sihat itu supaya tampil memberi maklumat kepada jawatankuasa khas tersebut bagi memboleh siasatan terperinci dijalankan.
Menurutnya, ahli-ahli bukan sahaja setakat bercakap mengenai perbuatan itu tetapi juga mesti tampil ke hadapan untuk membantu membanterasnya.
Dalam ucapannya, Keng Yaik juga menggariskan pandangannya mengenai seorang pemimpin parti yang ideal seorang yang bekerja secara berpasukan dengan memiliki kemahiran berkomunikasi, mengamalkan perhubungan awam yang baik serta memahami isu-isu semasa.
Minggu lalu, Keng Yaik secara terbuka mengkritik Timbalannya, Datuk Kerk Choo Ting yang didakwanya gagal bekerja secara berpasukan dan semakin hanyut jauh daripada parti.
Ucapan selama 45 minit itu turut menyentuh mengenai agenda Malaysia baru yang menekankan kepada kesaksamaan mengikut merit dan merapatkan jurang antara rakyat.
Menurutnya, sistem yang ada sekarang terlalu bersifat elit dan hanya mengkayakan segelintir individu tetapi mengabaikan rakyat peringkat bawahan yang paling memerlukan bantuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merasmikan perhimpunan agung Gerakan itu yang turut dihadiri oleh para pemimpin parti komponen Barisan Nasional.

