Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nazir kecam 'dobi untuk Muslim saja'
Diterbitkan:  Sep 26, 2017 11:19 AM
Dikemaskini: 3:24 AM

Isu sebuah kedai dobi mengehadkan perkhidmatannnya untuk orang Islam saja di Muar, Johor turut menarik perhatian Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak.

Kata adik perdana menteri itu langkah berkenaan menggambarkan fahaman salah penganut Islam terhadap agama berkenaan.

"Ini sangat membimbangkan. Kita perlu mengekang ekstremisme seperti itu jika kita mahu membina Malaysia sebagai negara pelbagai budaya yang aman dan progresif.

"Ini sudah tentu salah tafsir ajaran Islam," kata tokoh perbankan terkemuka itu di Instagram malam tadi.

Mengiringi kenyataan itu ialah gambar sebuah berita melaporkan mengenai kedai dobi berkenaan yang menjadi tular di media sosial pada 23 Sept lalu.

Melalui gambar berkenaan didapati kedai terbabit meletakkan papan tanda tertera "Dobi ini hanya menerima pelanggan beragama Islam sahaja atas faktor kesucian".

Ketika ditemui wartawan akhbar Cina, pengendali dobi itu enggan menyatakan sebab syarat itu dikenakan, sebaliknya hanya mendakwa merea melaksanakan tanggungjawab sebagai orang Islam.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula menganggap tindakan kedai itu sebagai "amalan agama yang sempit" dan bertentangan dengan ajaran Islam yang memudahkan penganutnya.

"Semua pandangan yang sempit seperti ini akan membawa negara kita ke arah ekstremisme dan hilang imbangan untuk hidup dalam masyarakat pelbagai agama dan budaya.

"Islam itu agama yang hidup dan beraksi dengan persekitaran secara seimbang. Fikah itu ke arah memudahkan bukan menyusahkan," katanya kepada Malaysiakini.

Isu itu turut menarik perhatian Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim, yang menyatakan terkejutnya dengan kewujudan dobi khas itu.

“Benarkah ini? Ini terlalu melampau.

Saya terkejut,” tulis putera sultan Johor di Twitter semalam.
 

Lihat Komen
ADS